Sabtu, 24 November 2018

Tuduhan terhadap peranan Nasiruddin al-Tusi




ilustrasi hiasan : jelas kelihatan bahawa pemelukan islam orang-orang mongol secara wajib merupakan perintah pertama oleh ghazan khan




TUDUHAN TERHADAP PERANAN KHWAJAH NASIR AL-DIN AL-TUSI DALAM PERISTIWA KERUNTUHAN KOTA BAGHDAD


OLEH : RASUL JA'FARIYAN

JILID VII, NO.2, RABI' AL-THANI - JAMADI AL-THANI 1410
NOVEMBER 1989 - JANUARI 1990




Daftar Isi
Kemunculan Fahaman Syiah di 'Iraq
Rancangan Mongol Untuk Perluasan dan Pembatasan Kota Baghdad
Sejarah Mengenai Peranan Khwajah
Kesan Kehadiran Khwajah Dalam Kalangan Orang-orang Mongol
Pengaruh Khwajah Terhadap Hulagu
Catatan Kaki




Kemunculan Fahaman Syi'ah di 'Iraq

Cerita tentang pengaruh aliran Syi'ah di 'Iraq adalah terlalu panjang untuk dihuraikan biarpun secara ringkas dan ia adalah di luar bidang artikel ini.

Bermula dari zaman Amir al-Mu'minin 'Ali (a.s) memindahkan ibu kotanya dari kota Madinah ke kota Kufah1 dalam masa 4 ½ tahun pemerintahannya, benih ajaran Syi'ah telah ditanam di kota tersebut, tetapi ini tidaklah membawa sebarang perkembangan dalam pertambahan bilangan pengikut Syi'ah di 'Iraq.

Bagaimanapun, dalam abad ke-2H/8M dan selepasnya, ajaran Syi'ah telah mula merebak ke tempat-tempat lain di 'Iraq. Tidak lama kemudian, ajaran Syi'ah telah berkembang di kota Baghdad atas daya usaha para ulama Syi'ah dan mampu bertahan biarpun menghadapi tekanan dan kezaliman yang tidak pernah berkesudahan daripada golongan 'Abbasiyyah. Situasi ini berlanjutan sehinggalah kemasukan Bani Buwayh menjelang pertengahan abad ke-4H/10M ke kota Baghdad. Golongan Buwayh mendokong para pengikut Syi'ah dan hampir 100 tahun lamanya pengaruh ajaran Si'ah berkembang serentak dengan kerjasama para ulama Syi'ah seperti al-Syaikh al-Mufid. 2

Kemudian pemerintahan Bani Saljuq telah membataskan pengaruh Syi'ah, tetapi tidak berupaya menghapuskannya sama sekali.

Dengan masa yang berlalu, kekuasaan golongan 'Alawiyyah telah bertambah dan orang-orang Syi'ah muncul sebagai golongan agama yang penting di kota Baghdad. Seterusnya, mereka telah mendirikan sebuah pusat Syi'ah yang lain di kota Hillah. Peningkatan kepentingan golongan Syi'ah dan pengaruh politik mereka membawa konflik dan penentangan oleh golongan Sunni (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah). Para khalifah 'Abbasiyyah seringkali menzalimi golongan Syi'ah dengan memberikan bantuan kepada golongan Sunni.

Zaman al-Nasir li-Din Allah, Khalifah 'Abbasiyyah merupakan petanda bermulanya serbuan golongan Mongol ke wilayah-wilayah timur dunia Islam. Khalifah cuba memujuk dan mendapatkan sokongan golongan Syi'ah yang membentuk komuniti yang berkuasa di kota Baghdad dan mempunyai sebilangan orang yang bersimpati dari kalangan orang-orang Khwarazmsyah yang telah lama memusuhi Khalifah 'Abbasiyyah dan menyokong golongan Syi'ah Baghdad.

Kecenderungannya kepada golongan 'Alawiyyin dan Syi'ah membuatkan sesetengah orang menganggapnya sebagai orang Syi'ah juga.

Ibn al-Tiqtaqa menulis catatan dirinya bahawa beliau mempercayai ajaran Imamiyyah, begitu juga para menterinya sama ada menunjukkan kecenderungan yang khusus kepada aliran Syi'ah ataupun mereka sendiri merupakan orang-orang Syi'ah.3

Ini dipandang sebagai gerakan politik bagi menarik sokongan golongan Syi'ah. 4 Al-Sa'di menyebutkan pelantikan Ibn al-'Alqami, seorang Syi'ah oleh Khwajah untuk menduduki jawatan menteri sebagai suatu langkah untuk menyenangkan tokoh ulama Syi'ah iaitu Radi al-Din 'Ali bin Musa ibn Ja'far ibn Tawus al-Hasani.5

Tindakan Nasir ini menunjukkan bukan hanya pengaruh Syi'ah tetapi juga mendedahkan konfrontasi tokoh tersebut terhadap para lawannya, suatu pertentangan yang cuba diselesaikan bagi kepentingan dirinya.

Polarisasi ini berterusan untuk beberapa abad dan muncul setiap tahun dalam konflik mengenai dua hari yang istimewa, iaitu 'Asyura dan Ghadir. Konflik tersebut secara terperincinya telah dicatatkan dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir, al-Muntazam oleh Ibn al-Jawzi, dan Syadharat al-Dhahab oleh Ibn al-'Imad al-Hanbali.

Dalam masa-masa terkemudiannya, pengaruh Syi'ah dalam pentadbiran 'Abbasiyyah telah berkembang pesat hinggakan ramai menteri mereka terdiri daripada orang-orang Syi'ah. Di samping memperlihatkan kebijaksanaan orang-orang Syi'ah dalam urusan-urusan pentadbiran, fakta tersebut tidaklah boleh dianggap sebagai tidak berhubungan dengan dorongan usaha-usaha Syi'ah untuk menerima kekuasaan Sunni ke atas seluruh masyarakat Islam.

Khalifah 'Abbasiyyah yang terakhir, al-Mu'tasim telah melantik Mu'ayyad al-Din ibn al-'Alqami, seorang Syi'ah sebagai menteri dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga sampai zaman kejatuhan kota Baghdad dan pembunuhan Khalifah. Selain daripada polisi para Khalifah 'Abbasiyyah, sebahagian unsur Sunni di dalam pemerintahan telah cuba membuatkan Khalifah bertindak dalam beberapa kejadian pada posisi anti-Syi'ah, hingga memberikan kesan timbulnya pemberontakan dan pembunuhan di kota Baghdad yang menyebabkan kehilangan besar kepada kedua-dua belah pihak. Sekali konflik seperti itu terjadi pada tahun 654H/1256M, setahun kemudian kota Baghdad jatuh.6

Peristiwa tersebut menambahkan permusuhan golongan Syi'ah terhadap khalifah 'Abbasiyyah. Sehubungan dengan ini, sepucuk surat dituliskan oleh Ibn al-'Alqami kepada pemimpin Syi'ah, al-Sayyid Taj al-Din Muhammad ibn Nasr al-Husayni menjelaskan kedudukan Syi'ah terhadap khalifah.

Karkh (sebuah daerah di barat Kota Baghdad, tempat orang-orang Syi'ah tinggal) merupakan sebuah kota yang dimuliakan, telah dimusnahkan dan warisan Nabi yang mulia telah dihancurkan. Rumah 'Ali telah dirampas manakala golongan pengikut Hasyimiyyah mereka telah ditawan. Hal yang berlaku tidaklah memeranjatkan kerana mereka merupakan para pengikut al-Husayn (a.s), dengan maqam dan kehormatannya telah dicemari dan darah mereka telah ditumpahkan. Tidak ragu-ragu lagi, syaitan telah menipu kumpulan (penentang) tersebut. Sekarang, apakah yang boleh dilakukan selain daripada bersabar?... Pengumuman itu telah dibuat (oleh pihak pemerintah) hingga sejumlah besar tentera dihantar ke kota tersebut hingga memaksa para penghuninya lari dari tempat itu dengan perasaan penuh kecewa dan dukacita.7

Latar belakang kepada keadaan yang terjadi itu merupakan suatu ketetapan umum yang walau bagaimanapun pada beberapa kejadian yang telah dihuraikan, tetapi perasaan prasangka kemazhaban telah bertindakbalas mempengaruhi kedua-dua belah pihak. Para pemerintah yang bertindak dalam keadaan yang membahayakan kepentingan jangka panjang mereka sendiri dan juga orang ramai, sama ada atas dasar prasangka atau bertujuan untuk memanjangkan masa pemerintah mereka telah menggalakkan pertelagahan dan perbezaan mazhab tersebut.

Demikianlah latar belakang yang menghasilkan tuduhan-tuduhan mengenai peranan Syi'ah dalam peristiwa kejatuhan kota Baghdad, yang sebenarnya adalah kejatuhan kekhalifahan 'Abbasiyyah dan mendorong para pemikir yang bersikap prejudis menuduh golongan Syi'ah menghasut orang-orang Mongol menumbangkan khalifah. Walaupun fakta menunjukkan bahawa kebanyakan ulama Sunni seperti Syaraf al-Din ibn al-Jawzi, penyimpan rahsia peribadi khalifah berada dalam rombongan Hulagu Khan, namun kehadiran Khwajah Nasir al-Din al-Tusi (597-672/ 1200 - 1273) dan Mu'ayyid al-Din ibn al-'Alqami, menteri al-Mu'tasim dalam peristiwa-peristiwa pada masa itu telah dijadikan sebagai asas atau hujah kepada tuduhan terhadap golongan Syi'ah.

Tuduhan ini dikemukakan oleh golongan Hanbali dan para penghasut mereka, yang sikap permusuhan mereka terhadap golongan Syi'ah seperti permusuhan mereka terhadap mazhab-mazhab Islam yang lain di kota Baghdad adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain yang bermusuhan.


Hujah-hujah yang akan dikemukakan nanti dalam kajian ini adalah seperti berikut:

Pertama: Orang-orang Mongol itu sendiri telah pun memperluaskan penaklukan mereka di Iran dan 'Iraq. Mereka begitu memerlukan apa sahaja rangsangan dalam perkara tersebut.

Kedua: Kehadiran Khwajah Nasir al-Din al-Tusi dalam istana Hulagu Khan dan cerita-cerita berhubungan dengannya tidak dapat membuktikan bahawa beliau menggesa Hulagu Khan menamatkan kekhalifahan 'Abbasiyyah.

Ketiga: Kehadiran dan kepimpinan Khwajah Nasir al-Din al-Tusi semata-mata bertujuan untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan mencegah kemusnahan Islam, kebenaran yang telah dibuktikan dalam sejarah.

Keempat: Ibn al-'Alqami juga tidak melakukan sebarang usaha tetapi memperlihatkan keyakinannya yang utuh dalam mengambil langkah yang jelas kelihatan pada dirinya sebagai kedudukan yang tepat dalam perkara tersebut, dengan tujuan untuk memelihara nyawa manusia yang tidak berdosa yang berada dalam keadaan begitu bahaya oleh khalifah semata-mata demi keselamatan.

Kelima: Menurut Ibn al-Athir, para khalifah Baghdad merupakan orang-orang yang menggalakkan dan mendorong orang-orang Mongol menakluki wilayah-wilayah Islam. Kenyataan ini dapat diakui iaitu pada keseluruhannya, orang-orang Syi'ah seperti juga Sunni, bukan sahaja mendedahkan diri mereka kepada ancaman bencana menerusi pendirian mereka yang benar, tetapi mempergunakan situasi yang ada untuk mengembangkan Islam umumnya dan ajaran Syi'ah khususnya.

Sebelum meneruskan kajian kami lebih lanjut tentang persoalan-persoalan yang dikemukakan di atas, wajarlah diteliti keadaan dan kandungan tuduhan terhadap golongan Syi'ah dan Khwajah Nasir al-Din al-Tusi.

Di antara para sejarawan yang hidup beberapa waktu selepas kejadian tersebut ialah Ahmad ibn Muhammad ibn Taimiyyah (m.728/1327). Beliau menyalahkan Khwajah Nasir al-Din al-Tusi atas kejatuhan kota Baghdad. Ibn Taimiyyah merupakan pengasas mazhab baru, yang latar belakangnya boleh dikesan sehingga kepada Ahmad ibn Hanbal dan Ahl al-Hadith. Hasil tulisannya dianggap serangan-serangan terhadap ajaran Syi'ah, yang ternyata lebih tajam berbanding dengan kumpulan-kumpulan lain. Dalam kebanyakan kitabnya, sikap prejudis anti-Syi'ahnya dinyatakan dengan begitu keras.

Dalam hal ini juga, dengan sikap buruk yang berkemungkinan didorong oleh peningkatan kekuasaan Syi'ah pada zamannya, beliau membuat keputusan, dan dalam usaha penentangannya kepada fakta-fakta sejarah yang benar, berhubung dengan penaklukan Mongol yang ditulis sebelumnya, beliau berpendapat Khwajah bertanggungjawab terhadap kejatuhan kota Baghdad.

Pada suatu tempat, sewaktu menyebutkan kehebatan Khwajah di kalangan Sunni dan Syi'ah, Ibn Taimiyyah menuliskan: "Beliaulah yang menyebabkan Khan Mongol membunuh khalifah dan ulama…" Kemudian, beliau menuduh Khwajah tidak mengendahkan ajaran-ajaran Islam, mengejek larangan-larangan syarak, tidak mendirikan salat, menggalakkan perkara-perkara yang tidak baik, terlibat dengan minuman arak dan perbuatan zina.8

Pada tempat yang lain pula, Ibn Taimiyyah memperkatakan kedudukan Khwajah: "Beliaulah yang menggesa khalifah dibunuh dan pemerintahan 'Abbasiyyah ditamatkan."9

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, salah seorang muridnya yang terkenal, menuruti jejak langkahnya menuduh Khwajah melibatkan diri dalam pembunuhan khalifah dan para ulama dengan menggelarkannya dengan gelaran-gelaran seperti "Nasir al-syirk wa al-kufr wa al-ilhad" (Nasir syirik, kufur dan mulhid [ateis]). Beliau menghentam kepercayaan falsafah Khwajah, bahkan menuduhkan menolak kewujudan Hari Akhirat, menolak sifat-sifat Allah, mempelajari ilmu sihir dan menyembah berhala pada akhir hayatnya.10

Kejadian-kejadian yang berlaku menunjukkan bahawa bukan sahaja Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jawzi tidak berusaha menghalangi tindakan menaburkan fitnah ke atasnya bahkan mereka sanggup pergi lebih jauh dengan menuduh Khwajah menyalahi larangan-larangan syarak dan menyembah berhala. Tokoh-tokoh lain seperti al-Subki 11 dan Khwand Mir 12 menuruti jejak langkah Ibn Taimiyyah dengan meletakkan kesalahan kepada Khwajah sebagai orang yang menyebabkan penaklukan kota Baghdad.

Pada zaman moden ini, sesetengah pengkaji ketimuran (orientalis) seperti pengarang buku Cambridge History of Iran, turut membuat tuduhan terhadap peranan Khwajah. 13 Edward Browne dan Arberry turut mengakui tuduhan tentang peranan Khwajah seperti yang disebutkan oleh Dr. Ha'iri.14

Di kalangan Syi'ah juga, dari abad ke-10/16 dan seterusnya, sesetengah pengarang telah menyokong tuduhan ke atas Khwajah yang menentang 'Abbasiyyah dan menganggap perkara tersebut sebagai hujah yang kuat terhadap Khwajah. Salah seorang daripada mereka ialah Khwansari dalam kitabnya, Rawdat al-Jannat yang menggunakan bahasa yang keras dalam menyebutkan perkara tersebut.15 Begitu juga, Qadi Nur-Allah al-Syusytari yang meletakkan kesalahan ke atas peranan Khwajah.16

Selain daripada kesahihan atau ketidaksahihan tuduhan ke atas perbuatan Khwajah, penglibatannya dalam kejadian-kejadian tersebut cukup meragukan. Pendapat yang bersifat pujian seperti oleh Khwansari, sudah pasti timbul daripada prasangka penulis terhadap para khalifah 'Abbasiyyah. Tulisan-tulisan seperti itu tidak boleh menjadi bukti yang cukup jelas kerana sumber-sumber terawal dan asli tidak merujuk kepada peranan Khwajah. Tambahan lagi, mereka berada dalam beberapa abad selepas zaman peristiwa-peristiwa itu dipersoalkan.

Meskipun begitu, kami boleh kemukakan seorang lagi penulis yang kurang berhati-hati dan mudah terpengaruh dengan latar belakang perbezaan Sunni-Syi'ah, yang telah mendorongnya melangkah setapak lebih jauh daripada Ibn Taimiyyah dalam meletakkan kesalahan ke atas golongan Syi'ah secara keseluruhannya, walaupun dia mempertahankan Khwajah daripada tuduhan-tuduhan yang membelakangkan sifat keagamaannya. Dia merujuk kepada peranan Syi'ah sebagai salah satu faktor terpenting kepada kejatuhan khalifah. 17 Beliau menuliskan: "…pada zaman tersebut, tangan Syi'ah menyusup keluar daripada lengan orang-orang Mongol dan melenyapkan semuanya sekaligus."18

Dia memetik Khwand Mir (abad ke-9/15) dalam kitab Habib al-Siyar, Qadi Nur Allah al-Syusytari, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan al-Subki berhubung dengan tuduhan terhadap peranan Khwajah dalam perlucutan khalifah, dengan catatan: "… hampir semua sumber bersepakat dalam persoalan tersebut."19 Tidak ada persepakatan seperti itu yang timbul dalam kalangan para sejarawan yang hidup hampir dengan zaman kejatuhan kota Baghdad, seperti yang akan diterangkan nanti. 20

Pergantungan kepada tulisan-tulisan yang dinyatakan itu amat diragui, kerana mereka mencerminkan prasangka para penulis itu. Kalaupun diagakkan bahawa Khwajah Nasir al-Din al-Tusi terbabit dalam kejadian itu, sebarang kenyataan yang boleh meninggalkan kesan adalah bahawa "tangan Syi'ah muncul di balik lengan Mongol," merupakan kesilapan yang amat dikesali bagi sesiapa sahaja semasa membuat keputusan atau ketetapan sejarah yang benar-benar serius, khususnya apabila dilakukan oleh seseorang pengkaji.


Rancangan Mongol untuk Perluasan dan Pembatasan kota Baghdad

Sejarah menceritakan bahawa Genghiz Khan telah berhasrat menjalinkan persahabatan dan hubungan rapat dengan para pemerintah Iran dan 'Iraq. Pada mulanya, dia tidak bercita-cita menyerbu dan menyerang wilayah-wilayah tersebut. Untuk meneruskan hubungan persahabatan, dia telah menghantarkan utusan dan delegasi perdagangannya ke istana Khwarazm Syah.

Kesombongan Sultan Muhammad Khwarazm Syah (m.617/1220) menyebabkannya menolak usul tersebut dan membunuh utusan dan para pedagang itu. Kebongkakan sultan tersebut telah menyebabkan berlakunya peperangan yang berlanjutan di antara orang-orang Mongol dan Khwarazm Syah di bahagian timur Iran.21

Atas dasar tidak berfikir panjang, Khwarazm Syah yang barangkali gagal untuk melihat lebih jauh akan kejayaan yang bakal mendatang, menjadi salah satu faktor serangan orang-orang Mongol.

Menurut Ibn al-Athir, sultan menyesali tindakannya yang tidak bijaksana dan berusaha mencari jalan keluar apabila perutusan Genghiz Khan sampai kepadanya. Perutusan itu menyebutkan: "kamu telah membunuh para sahabat dan pedagangku serta merampas semua barang milik mereka. Kini, bersiap-sedialah untuk berperang."22

Di satu pihak lagi, orang-orang Mongol yang pada mulanya hanya ingin menyatukan wilayah-wilayah timur, akhirnya membuat keputusan memperluaskan kekuasaan mereka, dan dengan mempergunakan alasan oleh Sultan Khwarazm itu, mereka memulakan usaha-usaha ke Asia Tengah.

Faktor-faktor lain juga turut mendorong serangan mereka. Secara khusus, hasutan oleh orang-orang Eropah ke atas orang-orang Mongol supaya menyerang wilayah-wilayah Islam patut diberikan perhatian. Semasa perang Salib, serangan seperti itu boleh mendatangkan pertolongan yang besar kepada orang-orang Kristian. Sehubungan dengan itu, orang-orang Kristian Armenia turut berada di pihak Barat.23

Dari masa Genghiz Khan mula memperlihatkan cita-citanya untuk meluaskan kekuasaannya ke kawasan-kawasan Asia Barat, orang-orang Mongol yang begitu bersemangat meneruskan penaklukan mereka dan sehingga kematiannya dalam tahun 624/1227, banyak kawasan Iran telah tunduk kepada serbuan orang-orang Mongol. Kawasan-kawasan tersebut termasuklah Ray, Qum, Kasyan dan Saveh, iaitu kawasan-kawasan 'Iraq al-'Ajam.24

Jalal al-Din Khwarazm Syah yang berjaya menyelamatkan diri dan dengan taktik-taktik serang dan undurnya dalam peperangan dengan puak pelampau (sehingga 628/1230) telah membataskan kemasukan orang-orang Mongol ke kawasan-kawasan tengah Iran, para penyerang tadi beralih ke kawasan-kawasan Caucasian dengan mereka meluaskan penaklukan mereka. Dengan ketiadaan Jalal al-Din daripada medan perang, orang-orang Mongol yang hanya setakat berpuashati dengan pendudukan Khurasan mulai menceroboh kawasan-kawasan lain di Iran juga.

Seperkara lagi yang perlu diperhatikan adalah fakta bahawa orang-orang Mongol sejak dari itu, berhasrat menakluki kota Baghdad. Kira-kira 21 tahun sebelum kejatuhan kota Baghdad, semasa al-Mustansir menjadi khalifah, orang-orang Mongol telah melancarkan serangan ke atas kota tersebut. Secara praktiknya menunjukkan bahawa individu-individu seperti Khwajah Nasir al-Din al-Tusi tidak berupaya memainkan peranan menghasut para penyerang itu kerana orang-orang Mongol sememangnya sudah bersiap-sedia bergerak ke arah itu.


Rasyid al-Din merujuk serangan-serangan Mongol pada tahun 634/1236 dan 635/1237 dengan kata-katanya seperti berikut:

Pada awal zaman tersebut, khalifah 'Abbasiyyah ialah al-Mustansir bi'l-Llah. Ketumbukan-ketumbukan tentera Mongol di bawa perintah orang Baychow telah dihantar untuk menyerang dan mereka telah mengepung Arbil… Apabila khalifah mendapat tahu mengenainya, dia lalu mengutuskan Syam al-Din Arsalan bersama-sama 3000 orang tentera.

Apabila orang-orang Mongol mengetahui perkara tersebut, tiba-tiba mereka berhenti menyerang dan berundur. Khalifah meminta para fuqaha mengeluarkan hukum di antara dua persoalan iaitu haji dan jihad, manakah yang lebih patut diutamakan, dan fatwa telah dikeluarkan dengan sebulat suara menyokong jihad.

Kemudian, dia memerintahkan para ulama dan fuqaha, golongan atasan dan bawahan di kota Baghdad melatih diri mereka memanah dan menggunakan senjata. Dia turut mengarahkan parit dan benteng kota Baghdad dibina. Orang-orang Mongol kembali semula pada masa yang lain dengan tujuan mengambil Arbil…. Selanjutnya, dia memerintahkan Amir Arsalan Takin menempatkan dirinya bersama-sama dengan kekuatan tentera di luar kota Baghdad, menanti kedatangan orang-orang Mongol.

Apabila orang-orang Mongol mengetahui perkara tersebut, mereka mengubah arah mereka ke Daquq dan kota-kota sekitar kota Baghdad, membunuh, merampas dan menawan… Orang-orang Mongol kemudian didesak berundur dari Jabal Himrin. Orang-orang Turki dan para hamba khalifah mengejar mereka, membunuh ramai orang Mongol dan membebaskan tawanan Arbil dan Daquq.25

Beberapa catatan yang sama berhubung dengan serangan pada tahun 632-635/1234-1237 telah dikemukakan oleh para sejarawan yang lain.26 Berdasarkan catatan oleh Ibn Abi al-Hadid yang menyaksikan serbuan orang-orang Mongol itu sendiri, ketumbukan tentera Mongol diketuai oleh Bajaktai (Tuan Muda) menyerang kota Baghdad pada 17 Rabi' al-Awwal 643/1245 yang telah dapat ditangkis dan para penyerang itu berundur.27 Dalam tahun 47/1249 juga, orang-orang Mongol menyerang Khanaqin pada kali ini. 28 Serangan awal diceritakan oleh Ibn al-Kazeruni (m.697/1297)29 yang dikatakan berlaku pada 17 Rabi' al-Thani 642/1244.

Ini merupakan bukti-bukti terkemudian yang menunjukkan bahawa orang-orang Mongol bermusuhan dengan khalifah dan mereka pada kebiasaannya melaporkannya kepada Khan Mongol. Inilah peristiwanya yang tidak memerlukan sesiapa pun jua untuk menghasut mereka menentang khalifah.

Apabila Mengu (Mongke) (649-658/ 1251-1260) memegang teraju kepimpinan Mongol, orang-orang Baychow bergerak dengan kekuatan yang besar untuk melindungi tanah mereka di Iran. Dia mengutuskan orang suruhan kepada Khan dan telah melaporkan kesesatan (golongan Isma'iliyyah) dan khalifah itu sendiri. Qadi besar, Syams al-Din al-Qazwini telah menghasutnya supaya menentang golongan Isma'iliyyah, dengan menyebutkan pengaruh mereka ke atas sesetengah kawasan.30

Menyedari perkembangan tadi, Mengu mengutuskan saudaranya Hulagu (Hulegu) memimpin ekspedisi di kawasan itu dengan memberitahunya: "…mulakan dari Quhistan (kawasan taklukan golongan Isma'iliyyah di timur Iran), musnahkanlah benteng-benteng dan kubu-kubu dan kemudian terus mara menakluki 'Iraq. Sekiranya didapati khalifah mengaku tunduk, jangan apa-apakan dia dan seandainya dia berkelakuan sombong dan bersifat hipokrit, hantarkan dia bersama-sama yang lain." 31 Khwand Mir menceritakan Mengu dikatakan telah memerintahkan Hulagu: "… takluki wilayah-wilayah dari Oxus sehingga ke bahagian yang paling jauh di Mesir."32

Andainya kita merenungi tindakan khalifah kembali, sebelum dan semasa 50 hari berkonfrontasi dengan para penakluk Mongol itu, dapatlah disaksikan bahawa dia telah menaikkan kemarahan Hulagu Khan sehinggakan kalaupun Khwajah atau sesiapa sahaja sekalipun tokoh dan ulama terkemuka menentangnya, dia juga akan turut dihukum bunuh, seperti yang terjadi dalam peristiwa Husam al-Din yang memberikan peringatan kepada Hulagu Khan tentang akibat-akibat buruk sekiranya darah khalifah ditumpahkan.



Sejarah Mengenai Peranan Khwajah

Berhubung dengan pengakuan atau penafian terhadap tuduhan mengenai penglibatan Khwajah Nasir al-Din al-Tusi dalam kejatuhan kota Baghdad, kita bolehlah membahagikan catatan-catatan sejarah kepada tiga (3) bahagian:


(a) Sumber-sumber yang tidak menyebutkan Khwajah langsung:

Catatan-catatan tulisan dalam perkara tersebut berhubung dengan masa 100 tahun selepas kejatuhan kota Baghdad, kebanyakan penulis sama ada menyaksikan penaklukan Mongol atau pernah hidup dalam dekad-dekad selepas itu. Ketiadaan sebarang kenyataan mengenai Khwajah dalam tulisan-tulisan ini boleh disimpulkan sebagai bermaksud penafian peranan yang tertuduh, kerana persoalan itu telah menjadi sedemikian sensitif.

Dalam kalangan penulis zaman tersebut, Minhaj Siraj dalam kitabnya Tabaqat-e-Nasiri @ (Tarikh-e Iran wa Islam) yang kelihatan ditulis dalam tahun 658/1260 (hh.497) merujuk kepada kepungan Mongol ke atas kota Baghdad. Beliau menyebutkan sebahagian kemenangan khalifah yang diharapkan, seperti juga penipuan Ibn al-Alqami (yang akan dibincangkan kemudian nanti). Beliau tidak langsung menyebutkan sesuatu mengenai Khwajah.33

Ibn al-'Ibri (m.685/1286) merupakan seorang lagi penulis yang menghuraikan penaklukan ke atas kota Baghdad secara lebih terperinci.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sesuatu apa pun tentang Khwajah dalam perkara ini. 34 Dalam halaman-halaman seterusnya, beliau merujuk kematian Khwajah, menyebutkan keilmuan Khwajah yang begitu mendalam dalam beberapa bidang ilmu, tetapi tidak pula memperkatakan sesuatu mengenai peranan Khwajah dalam soal-soal politik.35

Menurut Dr. Ha'iri, Ibn al-Fawti dalam kitabnya yang ditulis dalam tahun 657/1259 mencatatkan kejatuhan kota Baghdad, tetapi tidak pula menceritakan apa-apa mengenai Khwajah.36

Dalam beberapa helaian yang ditulis oleh Khwajah Nasir al-Din, dimuatkan dalam Tarikh-e Jahanqusya'i oleh al-Juwayni, dengan sedikit perincian (keterangan) berhubung dengan penaklukan kota Baghdad dikemukakan, tidak ada dinyatakan berkaitan dengan sebarang peranan Khwajah dalam peristiwa-peristiwa tadi.37

Hamd Allah Mustawfi, tokoh sejarah dan geografi pada abad ke-8/14 (m.730/1329) adalah di antara orang-orang yang menulis penaklukan Mongol ke atas kota Baghdad, namun demikian beliau tidak menyatakan sesuatu tentang Khwajah dalam beberapa baris ayat yang ditulis mengenai peristiwa tersebut.38

Ibn Taba Taba (Ibn Tiqtaqa (m.709/1309)) ialah seorang lagi tokoh sejarah yang kritikal, menulis kitabnya dalam tahun 701/1301, di dalamnya mengandungi huraian berhubung dengan kejatuhan kota Baghdad yang dibincangkan dalam bab riwayat hidup al-Mu'tasim. Walau bagaimanapun, beliau juga tidak menuliskan sesuatu mengenai peranan Khwajah di dalamnya. 39 Sekali sahaja beliau menyebutkan nama Khwajah iaitu ketika Ibn al-'Alqami datang menemui Hulagu Khan dan dia diperkenalkan oleh Khwajah.40 Dalam contoh-contoh yang lain, beliau telah memetik kenyataan yang disifatkan kepada Khwajah tanpa menyebutkan namanya - mengenai cerita-cerita orang yang tidak dinyatakan nama. Ramalan yang meninggalkan kesan dalam tragedi khalifah terbunuh, dikatakan di sana akan berlaku kemusnahan 'alami tertentu. 41 Kita akan kembali semula kepada perkara tersebut kemudian nanti.

Rasyid al-Din Fadl Allah merupakan salah seorang lagi tokoh sejarah yang terkenal mengenai zaman Mongol, yang turut sama mengemukakan perkara yang dinyatakan di atas. Beliau juga tidak mengatakan sesuatu berhubung dengan sebarang peranan Khwajah dalam hubungannya dengan serangan penakluk-penakluk Mongol ke atas kota Baghdad ataupun dalam konteks pembunuhan khalifah.

Abu al-Fida' merupakan tokoh sejarah Arab dan pengarang kitab al-Mukhtasar fi Akhbar al-Basyar. Beliau menceritakan bahawa kejadian-kejadian mengenai pembunuhan khalifah tidak diketahui, dan beliau tidak pula menunjukkan sesuatu pun untuk menyarankan atau memperlihatkan sebarang peranan Khwajah berhubung dengannya. Hal ini disebutkan di samping beliau menyebutkan beberapa hujah berkait-rapat dengan kehidupan Khwajah.42

Muhammad ibn Syakir al-Kutubi (m.764/1362) pengarang kitab Fawat al-Wafayat menuliskan keterangan berhubung dengan sumber latar belakang Khwajah (6 halaman). Namun demikian, sewaktu menulis sumbangan dan pendirian Khwajah kepada Hulagu Khan, beliau tidak langsung menyebutkan sesuatu peranan Khwajah dalam peristiwa kota Baghdad biarpun sedikit.43

Seorang lagi tokoh sejarah pada abad ke-8/14, Ibn al-Wardi (m.749/1348) dalam kitab sejarahnya menulis kejatuhan kota Baghdad. Beliau menegaskan peranan Ibn al-'Alqami tanpa merujuk kepada Khwajah dalam apa cara sekalipun. 44

Namun begitu, beliau menyebutkan tahun kematian Khwajah (672H), tempat kelahiran, sumbangannya di Alamut dan di bawah Hulagu serta bangunannya untuk melihat bintang, tetapi beliau tidak menuliskan sebarang peranan Khwajah dalam peristiwa-peristiwa berkaitan dengan kejatuhan kota Baghdad dan pembunuhan khalifah. 45

Al-Dhahabi (m.746/1345), seorang tokoh hadith dan rijal (maklumat mengenai tokoh-tokoh tertentu) yang terkemuka, menuliskan peristiwa kota Baghdad di bawah tajuk peristiwa-peristiwa tahun 656/1258. Beliau menyebutkan kedudukan Ibn al-'Alqami tetapi tidak pula mencatatkan sesuatu berkaitan dengan Khwajah.46

Al-Safadi (m.797/1394), pengarang kitab al-Wafi bi al-Wafayat, juga tidak menyebutkan sebarang peranan yang dimainkan oleh Khwajah dalam kejatuhan kota Baghdad.47

Al-Nakhjawani yang menulis kitabnya pada tahun 724/1324 tidak mengatakan sesuatu apa pun mengenai Khwajah dalam konteks peristiwa kota Baghdad.48

Al-Ghassani (m.767/1359) merupakan seorang tokoh sejarah zaman itu yang berulang-ulang kali mencela Ibn al-'Alqami dalam huraian tentang peristiwa kejatuhan kota Baghdad. Bagaimanapun, beliau tidak pernah sedikit pun menyebutkan peranan Khwajah.49

Ibn al-Kazeruni (611 - 697/ 1214 - 1297) yang hidup pada masa peristiwa tersebut, tidak menceritakan sesuatu dalam kitabnya mengenai Khwajah.50

Demikian juga, al-'Atabaki (m.874/146)51 dan al-Suyuti (m.911/1505) tidak merujuk kepada Khwajah.52

Para penulis yang telah dinyatakan tadi, kebanyakannya merupakan tokoh sejarah yang terkenal dalam abad ke-7/13 dan 8/14, biarpun sensitiviti mereka berkaitan dengan orang-orang Mongol dan kejatuhan khalifah, terutama mengenai sesetengahnya yang secara khusus bersifat berat sebelah seperti Ibn al-Wardi dan al-Dhahabi, tidak menyebutkan sesuatu apa pun mengenai Khwajah.

Seandainya ada sesuatu yang boleh diperkatakan dalam konteks ini, sudah tentulah mereka akan menekankannya, terutama dalam mengutarakan pendapat mereka menentang golongan Syi'ah. Hakikat bahawa mereka tidak menyebutkan sesuatu pun mengenai Khwajah tidaklah boleh dipandang sebagai tidak berhubungan dengan ketidakwujudan sebarang peranan yang dimainkan oleh Khwajah dalam peristiwa penting ini. Selanjutnya, ia juga turut menunjukkan bahawa sebelum dan semasa kejatuhan kota Baghdad, Khwajah tidak mempunyai pengaruh peribadi ke atas Hulagu Khan sebagaimana selepas peristiwa tersebut.


(b) Kitab-kitab yang menyebutkan peranan Khwajah:


Sebentar tadi, kami telah memetik kata-kata Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Subki, Khwand Mir dan al-Yafi'i. Sememangnya penting diutarakan perkara yang berikut di sini:

1. Penyelidikan terhadap sumber-sumber asli berhubung dengan kejatuhan kota Baghdad menyatakan bahawa walaupun wujud sikap anti-Syi'ah dalam kalangan sesetengahnya, dan permusuhan secara umum terhadap orang-orang Mongol, tidak ada seorang tokoh sejarah menyebutkan sesuatu tentang peranan Khwajah. Ini dengan sendirinya merupakan petunjuk yang paling tepat tentang tuduhan yang tidak berasas sama sekali oleh Ibn Taimiyyah, orang-orang seumpamanya dan para pengikutnya.

2. Sikap fanatik atau asabiyyah kemazhaban Ibn Taimiyyah dan muridnya, Ibn Qayyim, begitu juga dengan yang lain-lain seperti al- Subki dan Ibn al-'Imad al-Hanbali yang menuruti jejak langkah mereka sehingga sampai ke suatu tahap, malahan kenyataan mereka semuanya hampir sama menolak sebarang penerimaan kepada kritikan mereka terhadap Khwajah Nasir al-Din al-Tusi. Ibn Taimiyyah dalam kebanyakan hasil tulisannya, mengambil sikap penentangan terhadap golongan Syi'ah dan mengada-adakan pelbagai bentuk tuduhan yang tidak berasas terhadap mereka, yang sebahagian besarnya memperlihatkan ketidakfahamannya antara golongan ghulat dan Syi'ah Imamiyyah. Tuduhan yang sama olehnya terhadap Khwajah dalam kitabnya al-Radd 'ala al-Nusayriyyah, juga mazhab Ghali membuktikannya. Tuduhan serupa juga disebutkan dalam Minhaj al-Sunnah, penyangkalannya kepada kitab Minhaj al-Karamah oleh al-'Allamah al-Hilli. Ia memperlihatkan bahawa dia telah mempersamakan tuduhannya itu, dan seperti tuduhan dan kecamannya yang lain, ini adalah salah satu tuduhan yang sama sekali tidak beralasan. Apabila al-'Allamah al-Hilli mendengar penyangkalan Ibn Taimiyyah dalam hasil tulisannya, beliau menegaskan: "Seandainya dia memahami apa yang aku katakan, nescaya aku membalasnya."53




3. Apabila tuduhan oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim bahawa Khwajah melibatkan diri dalam pemusnahan kota Baghdad oleh orang-orang Mongol dibuat penelitian berasaskan kepada tuduhan-tuduhan bahwa Khwajah:

a. Mengabaikan kandungan ajaran syariah,

b. Menyalahi larangan-larangan syarak,

c. Tidak mendirikan salat,

d. Melakukan perkara-perkara yang keji,

e. Meminum minuman yang memabukkan,

f. Terlibat dalam kesalahan perzinaan,

g. Tidak mempercayai Hari Akhirat,

h. Menafikan sifat-sifat Allah.

i. Terlibat dalam kesalahan menyembah berhala dan lain-lain,

akan didapati bahawa semuanya itu hanyalah sikap berat sebelah mereka, yang secara jelas tidak masuk akal sama sekali sehingga mereka mempersamakan tuduhan-tuduhan tersebut. Orang-orang yang membuat tuduhan sewenang-wenangnya itu lebih layak ditolak ketepi sahaja, dan sesungguhnya ia tidak boleh menjadi dasar dalam membuat keputusan dan ketetapan sejarah yang begitu penting.

4. Saksi yang layak untuk dijadikan bukti bagi menentang kesahihan keterangan Ibn Taimiyyah dan para pengikutnya terhadap Khwajah ialah Ibn Kathir (m.864/1459). Beliau merupakan seorang pengikut Hanbali dan dianggap sebagai seorang pengikut Ibn Taimiyyah.54 Ibn Kathir sememangnya menyedari tuduhan-tuduhan Ibn Taimiyyah sekurang-kurangnya daripada tiga (3) hasil tulisannya. Dalam hal ini, beliau tidak menerima kenyataan Ibn Taimiyyah sama sekali.

Merujuk kepada tempoh Khwajah sebagai menteri Hulagu, Ibn Kathir menuliskan:

"Khwajah turut bersama-sama dalam kumpulannya pada masa peristiwa kota Baghdad. Sesetengah orang membayangkan bahawa Khwajah telah menghasut Hulagu supaya membunuh khalifah. Bagaimanapun, menurut keyakinan saya sendiri, tindakan seperti itu tidak dilakukan oleh orang yang alim dan berpengetahuan tinggi."55

Rangkaikata "sesetengah orang" yang digunakan oleh Ibn Kathir, dan kemudian meneruskannya dengan menolak tuduhan tersebut bermakna bahawa beliau tidak menerima apa yang dituliskan oleh Ibn Taimiyyah. Tambahan lagi, beliau berpendapat ia adalah suatu perkara yang tidak bertepatan langsung dengan kehormatan Khwajah.


(c) Sumber-sumber yang tidak menyebutkan peranan Khwajah langsung dalam peristiwa kota Baghdad, tetapi mengemukakan sesuatu perkara berkaitan dengannya yang menyebabkan terjadinya tuduhan-tuduhan seperti itu:

Kalaupun tanpanya, kehadiran Khwajah dalam rombongan para penakluk Mongol merupakan bukti yang memadai bagi sesetengah orang untuk melakukan tuduhan. Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Dr. Syaibi, "dalam peristiwa pemusnahan kota Baghdad, walaupun ia adalah akibat serangan orang-orang Mongol secara menyeluruh hingga menumbangkan pemerintah yang datang daripada laluan mereka dari Turkistan ke Iraq, orang-orang Syi'ah pula yang dipersalahkan kerananya, disebabkan permusuhan Sunni - Syi'ah yang telah lama."56

Kenyataan mengenai Khwajah yang disebutkan di atas diceritakan Rasyid al-Din dalam hubungan dengan Husam al-Din, ahli kaki bintang dan Khwajah Nasir al-Din al-Tusi. Ibn al-Tiqtaqa memetiknya tanpa menyebutkan nama kedua-duanya. Orang-orang lain, turut sama mengambilnya daripada Rasyid al-Din dan menceritakannya dengan mengubah-suaikan kandungannya.

Sebelum memetik kata-kata Rasyid al-Din, adalah lebih baik untuk menyebutkan bahawa, oleh kerana golongan 'Abbasiyyah telah dipelihara oleh zaman itu, idea itu telah menjadi popular dan mereka sendiri turut sama mempropagandakannya, bahawa mereka tidak dapat ditewaskan, dan bahawa tidak ada seorang jua pun mampu menyebabkan kejatuhan mereka. 520 tahun berdirinya beserta propaganda tersebut telah memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat umum. Beberapa ketika terdahulu dari itu, apabila Sultan Muhammad Khwarazm Syah berhasrat untuk menyerang kota Baghdad dan menumbangkan khalifah 'Abbasiyyah berdekatan dengan Hamadan, serangan tersebut gagal. Peristiwa ini, juga diinterpretasi sebagai sesuatu keajaiban bagi kepentingan golongan 'Abbasiyyah.

Menurut al-Juwayni, "apabila kelemahan dan keruntuhan telah menguasai kerajaannya dan keajaiban akidah Muhammad telah mengikat tangannya…, demi kepentingan, dia terpaksa membuangkan idea tersebut." 57 Tidak ragu-ragu lagi, peristiwa yang melibatkan kemusnahan secara alamiah telah meninggalkan kesan kepada jiwa orang ramai, termasuk golongan alim, setengahnya merupakan golongan pemuka khilafah 'Abbasiyyah.

Husam al-Din seorang ahli kaji bintang yang juga merupakan rakan karib Hulagu dan berkemungkinan lebih rapat kepadanya daripada Khwajah turut sama mempercayainya. Perbincangan yang berlangsung di antaranya dengan Hulagu Khan dan Khwajah adalah satu-satunya yang membawa Khwajah ke dalam persoalan tersebut.


Cerita pendek ini akhirnya membawa tuduhan terhadap Khwajah menghasut untuk menjatuhkan khalifah. Rasyid al-Din mencatatkan:

Hulagu Khan meminta nasihat mengenai niatnya untuk meneruskan kemaraan (ke kota Baghdad) bersama-sama dengan para pegawai istana dan pegawai tingginya. Setiap orang mengatakan sesuatu menurut pendapat masing-masing. Husam al-Din, seorang ahli kaji bintang yang turut menyertainya atas perintah Khan yang agung telah dipanggil untuk menentukan masa menunggang atau sebaliknya. Hulagu memintanya supaya menceritakan apa sahaja yang diramalkan oleh bintang tanpa sedikit pun berbohong. Oleh kerana sangat rapatnya, dia dengan berani menceritakan semuanya tanpa sebarang perasaan ragu-ragu terhadap raja dengan menasihatkannya supaya mengelakkan diri daripada menyerang golongan 'Abbasiyyah dan menghantar ketumbukan tentera ke kota Baghdad. Dia cuba memberikan penerangan kepada setiap pemerintah, bahawa sekiranya gerakan-gerakan yang dibuat untuk menentang golongan 'Abbasiyyah dan kota Baghdad gagal, mereka tidak akan dapat merasai nikmat hidup dan nikmat sebagai pemerintah. Seandainya raja tidak mahu mendengar dan tetap ingin meneruskan niatnya, enam (6) kejadian buruk akan timbul dengan sendirinya:

a. Semua kudanya akan mati dan tentera-tenteranya akan mendapat sakit.

b. Matahari tidak akan terbit.

c. Hujan tidak akan turun.

d. Ribut pasir akan melanda dan dunia akan dilanda oleh gempa bumi.

e. Tanaman tidak akan tumbuh.

f. Raja yang agung akan mati pada tahun tersebut.

Hulagu Khan meminta bukti atas apa yang diramalkannya. Insan lemah ini tidak dapat melakukan usaha yang menyakinkan. Para pegawai istana dan pembesar yang hadir mengatakan pemergian mereka ke kota Baghdad adalah baik dan berguna.

Kemudian Hulagu meminta Khwajah Nasir al-Din dibawa dan berbicara dengannya. Dengan perasaan penuh keraguan yang dia sedang diuji, Khwajah mengeluarkan pendapat bahawa tidak ada satu pun ramalan itu akan menjadi kenyataan. Ditanya dengan lebih lanjut tentang langkah-langkah yang dirancangkan itu, Khwajah mengatakan bahawa Hulagu Khan akan menggantikan khalifah. Husam al-Din dipanggil supaya berhujah dengan Khwajah.

Khwajah mengatakan bahawa menurut persepakatan tokoh-tokoh Islam, ramai sahabat besar menemui syahid dan ia tidaklah menyebabkan adanya akibat-akibat buruk. Seandainya, dikatakan golongan 'Abbasiyyah merupakan suatu kes yang istimewa, seseorang itu boleh mengingkatkan kembali tentang Tahir yang datang dari Khurasan di bawah perintah al-Ma'mun dan membunuh saudaranya, Muhammad al-Amin. Al-Mutawakkil juga dibunuh oleh anaknya dalam suatu perikatan para panglima tentera. Begitu juga al-Muntasir dan al-Mu'tazz dibunuh oleh para panglima dan hamba mereka. Dengan cara yang sama, beberapa orang khalifah yang lain dibunuh oleh orang dan tidak pula berlaku akibat atau kesan buruk kerananya.58

Riwayat lain yang hampir sama dengan petikan di atas telah disampaikan daripada Ibn al-Tiqtaqa, walaupun di dalamnya, cerita seumpama itu yang diterangkan Khwajah adalah mengenai 'Ali ibn Abi Talib (a.s) dan al-Husayn bin 'Ali (a.s).59

Minhaj al-Siraj juga telah menceritakan kejadian tersebut tanpa menyebutkan sebarang jawapan kepada ancaman atau peringatan ahli kaji bintang kepada Hulagu Khan dalam peristiwa dia membunuh khalifah. Dia hanya memetik kenyataan Badr al-Din Lu' Lu', Raja Mosul yang bersama-sama dengan orang-orang kafir lain memberitahu Hulagu bahawa sekiranya khalifah masih hidup, semua muslim dalam kalangan tentera dan juga orang ramai tentu akan menyelamatkan khalifah dan membunuh Hulagu Khan.60

Sebenarnya nasihat seperti itu biarpun sekiranya berlaku, dengan Khwajah mengemukakan pendapatnya, pada masa Hulagu Khan telah pun membuat keputusan sehinggakan dia sendiri tidak bersedia memberikan perhatian kepada Husam al-Din yang dipilih oleh saudaranya sebagai pembantunya untuk memutuskan "masa yang sesuai bagi menunggang atau sebaliknya." Walaupun sekiranya diandaikan ia benar sekalipun, ia tidak membuktikan bahawa Khwajah telah menghasut Hulagu Khan supaya menyerang kota Baghdad. Hal itu menjadi sedemikian rupa, terutamanya kerana Khwajah merasakan dirinya sedang diuji, yang merupakan suatu risiko yang besar ke atas dirinya.

Kesudahannya, Husam al-Din telah dihukum kerana mengutarakan ramalan-ramalan beralamat buruk yang ternyata tidak benar. 61 Bagaimanapun, Hulagu Khan mengambil sikap berhati-hati ketika dia mengeluarkan perintah supaya "khalifah digulung dalam pakaian dan tubuhnya ditendang terajang hingga mati." 62


Dr. Ha'iri telah membuat ulasan tentang cerita tersebut. Selain daripada hujah-hujah yang telah disebutkan, beliau telah mengemukakan:

1. Khan Mongol telah ditugaskan supaya melaksanakan hukuman oleh saudaranya.

2. Ahli falsafah seperti Khwajah tentunya tidak dapat mengesahkan kepercayaan-kepercayaan takhyul seperti itu.

3. Menurut cerita Rasyid al-Din, Hulagu tidak mahu mendengar sebarang kata-kata yang menentangnya.

4. Pendapat Khwajah bahawa tidak ada yang lain selain Hulagu yang akan menggantikan khalifah sebagai hasil keputusan daripada tindakan Khwajah merupakan realiti yang dapat dinafikan sama sekali.

Dr. Ha'iri selanjutnya menyatakan bahawa cerita tadi akhirnya menjadi asas kepada tuduhan terhadap Khwajah. Namun begitu, alasan atau hujah sebenarnya adalah lanjutan daripada sikap asabiyah (fanatik) mazhab. Beliau mengemukakan Wassaf selepas memetik cerita Rasyid al-Din dengan menambahkan bahawa "selepas mendengar jawapan Khwajah, Hulagu meneruskan penaklukan kota Baghdad dengan penuh keyakinan dan hati yang tenang.63 Penilaian tambahan ini menyediakan tapak bagi Ibn Taimiyya dan orang-orang lain membuat kesimpulan dan tuduhan yang tidak berasas, sedangkan hal seumpama itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ahli sejarah yang celik akal dari kalangan nama-nama mereka yang telah pun dinyatakan sebelumnya.



Kesan Kehadiran Khwajah Dalam Kalangan Orang-Orang Mongol

Memang benar, Khwajah menyertai orang-orang Mongol dan tetap bersama-sama mereka sehingga ke akhir hayatnya. Selepas beliau, anaknya juga tinggal dalam kalangan mereka.64 Dalam hubungan ini, beberapa persoalan perlu diberikan perhatian.

Pertama: Khwajah Nasir al-Din ialah seorang penganut mazhab Syi'ah Imamiyyah. Beliau merupakan pemegang amanah dan pewaris hadith dengan taqiyyah memainkan peranan penting. Taqiyyah telah menyelamatkan mazhab Syi'ah dalam persimpangan sejarah yang meruncing dan melindungi mereka dalam keadaan yang begitu menekan, yang telah dirancang oleh para penzalim seperti Ziyad, Ibn Ziyad, al-Hajjaj, al-Mansur, al-Rasyid, al-Mutawakkil dan lain-lain. Taqiyyah dianggap begitu penting sehinggakan orang-oang yang tidak mengamalkannya dikatakan sebagai orang-orang yang tidak beriman.

Di satu pihak lagi, pada ketika berada dalam tawanan di Alamut, beliau telah melihat serangan orang-orang Mongol, menyempurnakan apa yang kelihatan tidak mungkin berlaku dengan mata kepalanya sendiri dalam masa 170 tahun pemerintahan Bani Saljuq dan para pemerintah lain yang terdahulu. Dalam sekelip mata sahaja, mereka telah memusnahkan semua kubu kuat golongan Isma'iliyyah yang merupakan suatu perkara yang kelihatan tidak dapat dipercayai oleh orang ramai.

Khwajah telah melihat sepanjang 30 tahun serangan itu, mereka (para penyerbu) meratakan semua kota dalam dunia Islam dalam perjalanan mereka dan membunuh penduduknya secara beramai-ramai. Kesemua warisan kebudayaan termasuk perpustakaan telah hancur musnah tanpa sebarang perasaan belas kasihan. Beliau telah melihat tidak ada seorang jua pun mampu menangkis para penakluk itu dan sejarah telah menyaksikan hakikat tersebut.

Persoalan lain yang tidak perlu diperhatikan adalah para penakluk Mongol tidak seperti orang-orang Arab, bukannya menyerang sesebuah negeri dengan tujuan untuk memimpin penduduknya dan membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kesesatan. Sebaliknya, mereka sendiri merupakan orang-orang yang tidak bertamadun tanpa satu apa pun sebagai contoh teladan kecuali "Yasa" Genghiz dan beratus-ratus kepercayaan takhyul dan sesat.65

Sementara serangan Mongol berjalan lancar, Khwajah mungkin berfikir bahawa seandainya seseorang cuba melengah-lengahkan kerjasama dengan para pemerintah baru, ia bererti membiarkan mereka meneruskan pemusnahan mereka. Oleh kerana mereka telah memperlihatkan penghormatan, walau sedikit sekalipun terhadap para ulama, kenapakah ia tidak mengambil peluang-peluang itu dan cuba menyelamatkan Islam dan umatnya? Andai sekali sahaja kebudayaan Islam terselamat daripada kemusnahan oleh kumpulan barbar itu, ada kemungkinan perubahan sesetengah daripada mereka akan menjadikan mereka para pendakwah keilmuan, pemikiran dan keagamaan. Khwajah pasti berfikir, satu-satunya cara untuk melingungi Islam, umat Islam dan kebudayaan masyarakat Islam adalah dengan menggabungkan dirinya dengan Khan Mongol. Beliau bersedia melakukannya dan menjadi sahabat Hulagu.

Kenyataan itu bukan dakwaan semata-mata kerana sejarah telah mengesahkan keputusan Khwajah yang berpandangan jauh. Ia juga membuktikan Khwajah dan orang-orang lain yang sepertinya dalam kalangan ulama Syi'ah dan Sunni dapat menyempurnakan tugas itu dengan lebih berkesan. Bagaimanapun, khalifah yang ternyata kurang bijaksana dan tidak berpandangan jauh tidak begitu mengacuhkan mereka. 66 Akibatnya dapatlah dilihat di sini bahawa Ibn al-'Alqami, menteri terakhir khalifah Abbasiyyah juga telah mengemukakan cadangan yang sama, tetapi orang-orang lain seperti Dawatdar yang terlalu ingin kekal dalam jawatannya, akhirnya telah mendorong semuanya ke jurang kematian, menenggelamkan kota Baghdad dalam darah.

Walau bagaimanapun, Khwajah dan orang-orang yang sepertinya tidak mempunyai pengaruh yang besar pada peringkat permulaannya bagi menentukan keputusan Hulagu. Namun demikian, dengan berlalunya masa, Hulagu sememangnya berada di bawah pengaruh tersebut dalam persoalan-persoalan politik. Selepasnya, ramai Khan Mongol telah menganuti Islam dan sebagai pemerintah, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh meluaskan keadilan dan kebudayaan Islam sekurang-kurangnya ke suatu peringkat yang lebih luas berbanding dengan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah, yang ditangisi keruntuhannya oleh Ibn Taimiyyah.

Sesungguhnya, ini tidaklah bererti kita tidak patut mengakui usaha yang berharga oleh orang-orang yang telah berjuang menangkis serangan orang-orang Mongol dan bertempur melawan mereka dengan penuh keberanian hingga mati syahid. Namun begitu, cengkaman para ulama terhadap hakikat dunianya dan tindakan bijaksana serta berpandangan luas dalam mendapatkan pengaruh dalam kalangan orang-orang Mongol, bukanlah sesuatu yang tidak dapat diterima menurut akal yang sihat.

Tambahan lagi, ia adalah peribadi orang Syi'ah, yang mampu melindungi diri mereka, berjihad dengan cara mereka sendiri. Malahan apabila mereka menerima para khalifah Abbasiyyah pada satu-satu masa seperti dalam peristiwa para pemimpin golongan Abbasiyyah seperti al-Sayyid al-Radi dan al-Sayyid al-Murtada di kota Baghdad, mereka memilih melakukannya dengan tujuan untuk menyebarluaskan aliran Syi'ah dan ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya. Oleh itu, di kota Baghdad yang diasaskan oleh al-Mansur, mereka berupaya menarik hampir separuh penduduk kota itu kepada fahaman Syi'ah dalam beberapa abad di bahagian sebelah barat.

Di sini dapat dikemukakan sebahagian contoh memperlihatkan Khwajah menggunakan pengaruhnya di istana Mongol untuk mendakwahkan Islam dan kebudayaannya, juga untuk menyelamatkan nyawa para ulama dan pemikir Islam. Kedudukan ini ternyata menunjukkan bahawa Khwajah telah memilih jalan yang tepat dalam keadaan-keadaan yang begitu sukar.



Pengaruh Khwajah Terhadap Hulagu

Seperti dinyatakan tadi, Khwajah tidak mendapat apa-apa pengaruh yang dikehendaki ke atas Hulagu pada peringkat awalnya. Kenyataan ini telah pun diakui oleh sebilangan pengkaji.67 Ini kerana apabila orang-orang Mongol menyerang kota Baghdad, kedua-dua golongan Syi'ah dan Sunni sama-sama menerima kesannya.68

Dr. Syaibi juga telah menunjukkan nasib kedua-dua golongan Syi'ah dan Sunni yang menerima nasib yang sama beserta kemusnahan kota Baghdad, beliau telah menafikan sebarang tuduhan tentang adanya perancangan terlebih dahulu.69 Turut sama diakui adalah kemusnahan maqam Imam Musa al-Kazim (a.s).70

Walaupun begitu, secara beransur-ansur dalam jangkamasa yang panjang, Khwajah telah berjaya memenangi hati Khan Mongol yang telah melantiknya melakukan beberapa tugas termasuklah penyeliaan harta-harta waqaf (awqaf).71

Selanjutnya, pentadbiran kota Tus juga turut diamanahkan kepadanya.72 Pada suatu ketika, beliau telah dilantik sebagai Yarguchi (pendakwaraya) di satu-satunya istana pemerintah Mongol.73 Sepanjang kepungan kota Baghdad, pernah sekali Khwajah diutus sebagai wakil khalifah. 74 Seterusnya, beliau bertanggungjawab membina tempat meneropong untuk Hulagu.75

Akhirnya, pengaruh Khwajah menjadi bertambah besar hingga menurut Ibn Syakir: "Khwajah Nasir menduduki tempat yang mulia dan dipandang tinggi oleh Hulagu, sehinggakan apa sahaja yang diminta olehnya daripada Hulagu, diperkenankan dan bantuan kewangan yang dikehendaki diperuntukkan." 76 Khwajah merupakan seorang yang amanah dan kerana itu, beliau diberikan kepercayaan yang besar oleh Hulagu Khan.

Syam al-Din ibn Mu'ayyad al-Ardi mengatakan: "Khwajah melaksanakan tugas menteri kepada Hulagu Khan tanpa sebarang pengkhianatan. Beliau menguasai pemikiran Hulagu sehingga Hulagu tidak mahu menunggang kuda atau keluar mengembara tanpa keizinannya."77

Di antara tugas-tugasnya yang terpenting adalah berhubungan dengan perpustakaan, pemulihan semula keilmuan Islam dan latihan bagi para ulama dengan beliau telah berjaya menyempurnakan tujuannya hingga tanpa disedari, daripada kemusnahan yang dilakukan oleh orang-orang Mongol telah berubah mencapai kecemerlangan pada zaman itu. Beliau telah mengumpulkan dan mendirikan perpustakaan yang mengandungi 4 000 buah buku, daripada perpustakaan yang musnah di kota Baghdad, Syria, al-Jazirah dan lain-lain.78

Semasa beliau mentadbir hara-harta waqaf, beliau menggunakan 1/10 daripada pendapatan untuk mengatasi perbelanjaan pembinaan tempat meneropong dan perbelanjaan para ulama yang bekerja di situ. Tambahan lagi, banyak manfaat daripada pendapatan diterima oleh semua muslim, khususnya golongan Alawiyah dan Syi'ah. 79 Di antara jasa-jasa Khwajah yang lain adalah perlindungan yang diberikan kepada para ulama dan pemikir yang menjadi sasaran kemarahan orang-orang Mongol kerana beberapa sebab. Dalam hubungan ini, memang wajarlah disebutkan dua contoh seperti yang telah dicatatkan oleh para sejarawan.



Pertama : Cerita yang disampaikan oleh al-Nakhjawandi diakui sebagai ahli sejarah generasi kedua zaman itu. Beliau telah menulis kitabnya pada tahun 724H/1324M. Kisah ini diceritakan seperti berikut:

Dalam trajedi di kota Baghdad, 'Izz al-Din (Ibn Abi al-Hadid) dan saudaranya, Muwaffaq al-Din dibawa keluar untuk dijatuhi hukuman. Apabila Ibn al-'Alqami mendengar cerita tentang 'Izz al-Din, beliau mulai sedar. Dengan pantas, beliau pergi menemui Khwajah Nasir al-Din dan memohon (sesuatu) kepadanya dengan kata-kata: "Dua orang penduduk kota Baghdad terpilih yang mempunyai hak yang besar ke atasku telah ditangkap untuk dijatuhi hukuman bunuh. Aku mohon kepadamu, segeralah berjumpa dengan raja…" Khwajah segera pergi dan berlutut mengikut adat Mongol di hadapan Khan memohon belas kasihan, Khwajah pun menjelaskan bahawa kedua-dua orang yang telah ditangkap untuk dihukum menurut Yasa dan beliau datang untuk menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dihukum bunuh. Mendengarkan hal itu, Hulagu ketawa dan menerangkan: "Kalau kami ingin membunuhmu, tentunya kami tidak membiarkanmu hidup hingga kini." Kemudian, dengan penuh kerelaan, Hulagu memerintahkan kedua-duanya diserahkan kepada Khwajah.80

Dalam satu lagi cerita yang lebih menarik, tipu muslihat telah berjaya digunakan oleh Khwajah untuk menyelamatkan ulama yang lain. Ibn Syakir menceritakan bahawa maklumat telah sampai kepada Khwajah mengenai Hulagu yang berhasrat membunuh 'Ala al-Din al-Juwayni. Khwajah memberitahu saudara al-Juwayni iaitu apabila Khan mengeluarkan perintah, dia pasti akan melaksanakannya. Oleh itu, amat penting difikirkan suatu tipu muslihat, lalu diambil alat bantuannya, iaitu tasbih dan alat pengukur bintang. Beliau terus keluar dengan seorang lagi membawa sebuah alat pembakar kemenyan, mengikutinya menuju ke khemah Khan. Apabila orang-orang Hulagu yang melihatnya menghampiri khemah Khan, dan melihat alat pengukur bintang dan alat pembakar kemenyan itu, mereka terus memberitahu Khan. Mereka menerangkan bahawa Khan memang baik. Khwajah memberitahu mereka, beliau ingin melihat Khan dengan matanya sendiri. Hulagu Khan yang enggan membenarkan sesiapa pada masa itu, mengizinkannya masuk.

Khwajah memberitahunya bahawa kejadian buruk dijangka akan berlaku dan untuk itu, beliau telah membaca doa, membakar kemenyan dan memohon Allah supaya menghindari diri Khan daripada bencana. Beliau telah menasihatkan Khan agar berbuat baik dengan membebaskan para tawanan di wilayah-wilayah lain dan mengurniakan keampunan kepada mereka. Lantaran itu, Khan mengarahkan cadangan Khwajah itu dilaksanakan. Oleh itu, 'Ala al-Din juga turut dibebaskan, tanpa sebarang permintaan secara khusus daripada Khwajah.81

Cerita yang disebutkan tadi menunjukkan kebijaksanaan Khwajah yang kuat pengamatannya dengan jelas dalam memainkan pengaruhnya ke atas Hulagu Khan dan dalam usahanya memujuknya menuruti kehendaknya. Ibn Syakir, selepas memetik cerita itu membuat ulasan: "Khwajah telah memperlihatkan kepintarannya yang amat ketara dalam mencapai matlamatnya dan dengan itu telah dapat menyelamatkan orang ramai daripada bahaya. Usahanya memohon pembebasan begitu ramai tawanan di semua tempat, sesungguhnya suatu pencapaian yang tiada bandingannya."

Dengan menghubungkan kejadian yang dirancangkan tadi, Khwajah memuji Hulagu pada ketika yang diperlukan untuk menunjukkan pertimbangannya terhadap orang ramai. Pada suatu ketika, semasa menyebutkan tindakan buruk ke atas penduduk utara 'Iraq oleh tentera Jalal al-Din Khwarazansyah, berikutan kekalahannya, beliau telah mencadangkan agar prinsip-prinsip pemerintahan dan ketatanegaraan (Jahandari) yang lebih baik kepada pemerintahan Mongol.

Sebagai tindakbalas, Hulagu dikatakan memberitahunya: "Segala puji-pujian bagi Allah Maha Kuasa, kami ialah Jahangir (penakluk dunia) seperti juga Jahandar. Kami ialah Jahangir kepada puak pemberontak dan Jahandar kepada sesuatu puak - tidak seperti Jalal al-Din yang lemah dan tidak berkemampuan."82

Di satu pihak lagi, semasa kempen Hulagu, usaha Khwajah ditumpukan untuk mengajak orang ramai menyerah diri dan menyelamatkan mereka daripada pemusnahan orang-orang Mongol. Pada masa yang sama, dengan membawa perdamaian, beliau tentunya dapat menggalakkan orang-orang Mongol bertindak adil. Perbandingan dua zaman kehidupan Hulagu memperlihatkan sikap kesederhaan dalam dirinya di bawah pengaruh orang-orang seperti Khwajah.

Pada suatu ketika, Hulagu Khan mengutuskan Syaikh Syarif Tabrizi untuk tujuan mengintip dalam kalangan tentera Mongol Buqa'i yang bermusuhan dengannya. Pengintip tersebut telah ditangkap dan dibawa kepada Buqa'i yang kemudian menyoalnya tentang Hulagu Khan. Dia menanyakan Syaikh sama ada Hulagu masih lagi membunuh para pembesar, putera raja, ahli sufi, orang alim dan pedagang. Syaikh Syarif Tabrizi menerangkan bahwa sebelum itu, semuanya memang benar. Bagaimanapun katanya, sekarang semuanya sudah berubah dan dia membacakan baris-baris ini:

Disebabkan pemerintahannya yang adil, Api tidak membakar sutera, Rusa juga menyusui susu singa betina, Orang ramai dalam aman kerana keadilannya, Dan semua penindas sugul dan lemah.83

Sesungguhnya perkara ini adalah sesuatu yang keterlaluan, tetapi untuk meyakinkan, disebabkan perubahan akhlak, orang-orang Mongol dapat mengekalkan kekuasaan mereka. Jelaslah, sekiranya mereka mengekalkan cara-cara yang kasar pada zaman awal pemerintahan, tentulah mereka tidak akan dapat bertahan lama.

Selepas kematian Hulagu (pada 19 Rabi' al-Awwal 663H/1265M), Abaqan, anaknya menggantikannya atas usaha Khwajah. Selepas itu juga, pengaruh Khwajah amat bermakna dalam memberikan perlindungan kepada orang-orang alim.

Dikatakan bahawa Abaqan "memberikan anugerah hadiah kepada hampir 100 orang ulama terkemuka yang menjadi murid-murid al-Ustaz al-Basyar iaitu Khwajah Nasir al-Din (r.a) yang menggabungkan diri dengan istana Mongol."84




Sepanjang pemerintah Abaqan, Khwajah menasihatnya seperti dapat dilihat daripada baris-baris ayat di bawah:

Perkara pertama adalah dia (raja) hendaklah memelihara rahmat Allah Maha Agong dan Maha Suci, iaitu dengan berbuat baik di kedua-dua dunia...Perkara lain adalah dia hendaklah bertindak dengan penuh keadilan dan menyempurnakan segala usaha rakyatnya dengan penuh saksama agar mereka mendoakan kepada Allah supaya ditambahkan kebesaran dan kegemilangan... Perkara seterusnya adalah dia hendaklah menjauhi kezaliman dan penindasan, khususnya ke atas orang-orang alim dan orang-orang yang tidak berdosa agar dia dapat hidup lebih lama. Perkara seterusnya adalah dia hendaklah cuba menjadikan tanah subur agar banyak kekayaan dapat diperolehi tanpa penindasan dan kegelisahan rakyat..."85

Namun demkian, banyak lagi yang perlu dikaji dan ditulis tentang persoalan penyebaran Islam dalam kalangan orang-orang Mongol. Apa yang jelas adalah kebanyakan orang Mongol termasuk Hulagu Khan berlainan dengan apa yang menjadi bahan-bahan yang diragukan kebenarannya mengenai pemelukan Islamnya - tidak menganuti Islam pada zaman itu. Apa lagi yang diharapkan daripada mereka? Namun, memadailah bagi kita untuk berganjak sedikit ke hadapan, melihat apa yang al-Mustawfi katakan.

Selepas Ghazan Khan ibn Arghun Khan ibn Abaqan ibn Hulagu Khan menjadi raja pada tahun 694H/1294M, empat puluh tahun selepas penaklukan Mongol ke atas kota Baghdad, "raja dan timbalannya (Amir Nawruz) telah mengadakan pelbagai usaha untuk memperkukuhkan Islam dan menghancurkan kuil dan gereja. Kehebatan pemerintahan mereka menyebabkan penganutan secara beramai-ramai orang Mongol di Iran ke dalam Islam, dan matahari keimanan Muhammad mulai bersinar dan kegelapan syirik dan kejahilan hilang lenyap."86

Jelas kelihatan bahawa pemelukan Islam orang-orang Mongol secara wajib merupakan perintah pertama oleh Ghazan Khan.87




Catatan Kaki:

1. Rasul Ja'fariyan, Tarikh-e Siyasi-ye Islam ta Sal-e Chehellum-e Hijri, Dar Rah-e Haqq, Qum.

2. 'Ali Asghar Faqihi, Al-e Buwayh wa Awda'-e Zaman-e ishan, Dar Rah-e-Haqq, Qum.

3. Ibn al-Tiqtaqa, Tarikh-e Fakir, terj. oleh Gulpaygani, Bungah-e Tarjumeh wa Nasyr-e kitab, Tehran, 1360, h.432; Syaikh 'Abbas Qummi, al-Kuna wa al-Alqab, Beedar, Qumm, h.193-194.

4. Syirin Bayani, Din wa Dawlat Dar Iran-e 'Ahd-e Monghol, Markaz-e Nasyr-e Danisygahi, Tehran, 1367, h.270-271.

5. Al-Sa'idi, Mu'ayyad al-Din ibn al-'Alqami wa Asrar Suqut al-Dawlat al-'Abbasiyyah, Najaf, 1972, h.66.

6. Ibn al-Tiqtaqa, op.cit, h.446; Bayani, op.cit, h.313; al-Dhahabi, Duwal al-Islam, Beirut, al-'Alami, h.360.

7. Wassaf al-Hadrah, I, h.28; Bayani, op.cit, h.314; Ibn al-Wardi, Tarikh Ibn al-Wardi, Haydariyyah, Najaf, h.279; Ibn al-Wardi merujuk kepada Ibn al-'Alqami sebagai menteri kawasan Arbil. Lihat sama al-Ya'qubi, Babuliyyat, Najaf, III, h.34; seperti yang dipetik oleh al-Sa'idi, h.33-34; al-Dhahabi, op.cit, h.360; Khwand Mir, Habib al-Siyar, ed. oleh al-Siyaqi, Tehran, Khayyam, II, h.366; al-Ghassani, al-Asjad al-Masbuk, Bagdad, Dar al-Bayan, 1975, h.626.

8. Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, Cairo, 1903, II, h.199.

9. Ibn Taimiyyah, Majmu' al-Rasa'il, Cairo, 1905, h.97.

10. Ibn 'Imad al-Hanbali, Syadharat al-Dhahab fi Akhbar man dhahab, Ihya' al-Turath al-'Arabi, h.339-340; lihat sama al-Zarkali, al-'Alam, VII, h.36.

11. Al-Subki, Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, Cairo, 1906, V, h.115.

12. Khwand Mir, op.cit, II, h.338.

13. Boel, Cambridge History of Iran, terj. oleh Anusyeh, Amir Kabir, Tehran, 1367 (Sh.), V, h.512.

14. Ha'iri, "Tahqiq min Wujhat Nasar Tadwin al-Tarikh," dlm. Majallat al-Thaqafat al-Islamiyyah, no.13, h.97.

15. Al-Khwansari, Rawdat al-Jinan, Qumm, Isma'iliyyah, VI, h.300, 301, 315, 316.

16. Al-Syustari, Majalis al-Mu'minin, Islamiyyah, Tehran, II, h.25.

17. Bayani, op.cit, h.304.

18. Ibid, h.285, 305.

19. Ibid, h.305, 306.

20. Berhubung dengan subjek ini, lihat artikel Dr. Ha'iri yang telah menyebutkannya tadi. (Nota 14)

21. B. Spuler, Die Mongolen in Iran, Tarikh-e Mughal dar Iran, terj. Parsi, Intisyarat-e 'Ilmi wa Farhangi, Tehran, 1365, h.26-27.

22. Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Dar Sadir, 1966, XII, h.363; Mustawfi, Tarikh-e Gudhibah, Amir Kabir, Tehran, 1362, h.493; Minhaj Siraj, Tabaqat-e Nasiri, ed. oleh Habibi, Dunyay-e Kitab, Tehran, 1363, h.311; al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', ed. oleh Muhyi al-Din 'Abd al-Hamid, h.469.

23. B.Spuler, op.cit, h.49; Mudarrisi Zanjani, Sarqudhasyt wa 'Aqa'id-e Khwajah Nasir al-Din Tusi, Amir Kabir, Tehran, h.58; Bayani, op.cit, h.180-181; Hasan al-Amin, Majallat al-Thaqafat al-Islamiyyah, no.21, "Haqa'iq Tarikhiyyah hawl al-Tahaluf al-Maghuli," h.160; al-Sa'di, op.cit, h.128, 132; Kuk, Baghdad Madinat al-Islam, I, h.222, 266.

24. Spuler, op.cit, daripada Ibn al-Athir, XII, h.272.

25. Rasyid al-Din, Jami' al-Tawarikh, ed. oleh Karimi, I, h.576; lihat sama Mustawfi, op.cit, h.367-368.

26. Al-Sa'idi, op.cit, h.83-84 daripada Ibn al-Fuwati, al-Hawadith al-Jami'ah, h.84. Lihat juga Ibn al-'Ibri, Mukhtasar Tarikh al-Duwal, al-Matba'ah al-Kathulikiyyah, h.250; Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, ed. Abu al-Fadl Ibrahim, Mesir, VIII, h.238.

27. Ibn Abi al-Hadid, op.cit, VIII, h.239-240.

28. Ibn al-Fuwati, op.cit, h.241

29. Ibn al-Kazeruni, Mukhtasar al-Tarikh, ed. Mustafa Jawad, Baghdad, 1970, h.286.

30. Rasyid al-Din, op.cit, II, h.284-285.

31. Ibid, II, h.286-287.

32. Khwand Mir, op.cit, III, h.94.

33. Minhaj Siraj, op.cit, h.130

34. Ibn al-'Ibri, op.cit, h.270-272.
35. Ibid, h.286-287.
36. Ha'iri, op.cit, h.87.
37. Juwayni, Tarikh-e Jahanqusya'i, ed. Ghazwini, Leiden, III, h.280 di bawah tajuk, "Dhayl-e Kitab, Kayfiyyat-e Waqi'eh-ye Baghdad."

38. Mustawfi, op.cit, h.589; Lihat sama: h.369.

39. Ibn al-Tiqtaqa, op.cit, h.449-450.

40. Ibid, h.453.

41. Ibid, h.189-190.

42. Abu al-Fida', al-Mukhtasar fi Akhbar al-Basyar, Beirut, III, h.193-194.

43. Ibn Syakir, Fawat al-Wafayat, ed. Ihsan 'Abbas, Dar al-Thaqafah, Beirut, III, h.246, 252.

44. Ibn al-Wardi, op.cit, II, h.279, 280.

45. Ibid, II, h.318.

46. Al-Dhahabi, op.cit, h.360, 371, 373.

47. Al-Safadi, al-Wafi bi al-Wafayat, ed. Zeiter, Istanbul, 1831, I, h.179-183 dalam jurnal al-Thaqafat al-Islamiyyah, No.13, h.95.

48. Nakhjawani, Tajarib al-Salaf, ed. 'Abbas Iqbal, Tehran, h.357.

49. Al-Ghassani, op.cit, h.626, 630.

50. Ibn al-Kazeruni, op.cit, h.271-272.

51. Atabaki, al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misr wa al-Qahirah, Mesir, VII, h.47-51.

52. Al-Suyuti, op.cit, h.465, 466, 474.

53. Ibn Hajar al-'Asqalani, Lisan al-Mizan, al-A'lami, Beirut, 1971, II, h.317.

54. Al-Durar al-Kaminah, I, h.347.

55. Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut, XIII, h.267-268.

56. Al-Syaibi, Tasyayyu' wa Tasawwuf, terj. Dhakawati, Amir Kabir, Tehran, 1360 (Sh.), h.51.

57. Juwayni, op.cit, II, h.98.

58. Rasyid al-Din, op.cit, II, h.706-707.

59. Ibn al-Tiqtaqa, op.cit, h.189-190.

60. Minhaj Siraj, op.cit, h.197-198.

61 Khwand Mir, op.cit, III, h.107.

62. Minhaj Siraj, op.cit, h.198; Khwand Mir, op.cit, II, h.340. Menurut Ghazwini, tarikh yang paling tepat mengenai hukuman ke atasnya adalah pada 14 Safar 656; Lihat: Yad-Dasyt-ha-ye-Ghazwini, 'Ilmi, Tehran, VII, h.79.

63. Wassaf al-Hadrah, al-Amsar wa Tazjiyat al-A'sar, Tehran, 1328, II, h.199; Lihat sama al-Ha'iri, op.cit, h.91, 93.

64. Mudarrisi Zanjani, op.cit, h.78-79; Spuler, op.cit, h.297 daripada al-Maqrizi.

65. Majidzadeh dalam jurnal Nasyriyyeh Bastan Syanasi wa Tarikh, Markaz-e Nasyr-e Danisygahi, tahun kedua, No.2, h.36-37.

66. Ibn al-Tiqtaqa, op.cit, h.448; Ibn al-'Ibri, op.cit, h.269-270.

67. Ha'iri, op.cit, h.92.

68. Ibn al-Wardi, op.cit, II, h.280; al-Diyarbakri, Tarikh al-Khamis,
Mu'assasat Sya'ban, Beirut, II, h.377.

69. Al-Syaibi, op.cit, h.52.

70. Rasyid al-Din, op.cit, II, h.713.

71. Ibn Syakir, op.cit, III, h.250.

72. Rasyid al-Din, op.cit,; Spuler, op.cit, h.341.

73. Ibn al-Fuwati, h.351 dalam Spuler, op.cit, h.383.

74. Rasyid al-Din, op.cit, II, h.711.

75. Ibn Syakir, op.cit, III, h.247.

76. Ibid, III, h.247.

77. Ibid, III, h.250.

78. Ibid, III, h.247.

79. Ibid, III, h.250.

80. Nakhjawani, op.cit, h.359.

81. Ibn Syakir, op.cit, III, h.247-248.

82. Rasyid al-Din, op.cit, II, h.717.

83. Ibid, II, h.733.

84. Ibid, II, h.744.

85. Mudarrisi Zanjani, op.cit, h.62-63.

86. Mustawfi, op.cit, h.602-603. Lihat sama Spuler, op.cit, h.244 ff.

87. Ibid, h.603 (nota kaki) daripada Wassaf al-Hadran. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

50 Pelajaran Akhlak Untuk Kehidupan

ilustrasi hiasan : akhlak-akhlak terpuji ada pada para nabi dan imam ma'sum, bila berkuasa mereka tidak menindas, memaafkan...