Fadak dan hulu tujuh buah kampung pertanian di
pinggir Madinah al-Munawwarah mengunjur dari puncak bukit hingga
berhampiran laut, dan dari al-‘Arisy hingga ke Daumatul Jandal.
Riwayat daripada al-Zuhri menyatakan bahawa saki
baki kumpulan Yahudi penduduk Khaibar telah bertahan di sebuah kubu,
kemudian mereka meminta damai serta meminta jaminan agar darah mereka
tidak ditumpahkan dan diberikan kepada mereka laluan untuk keluar dari
Khaibar. Nabi s.aw. lalu menerima permintaan itu. Hal ini diketahui oleh
penduduk Fadak, lalu mereka membuat permintaan yang sama, dan mereka
pun diberi laluan keluar seperti mana yang diberikan kepada penduduk
Khaibar.
Tanah yang ditinggalkan oleh penduduk Fadak ini
dikhususkan kepada Nabi s.a.w. sahaja kerana ia bukanlah tanah atau
harta rampasan perang, sebaliknya merupakan harta yang ditinggalkan
musuh tanpa peperangan.
Menurut Abu Bakar Ahmad al-Jauhari, diriwayatkan
juga oleh Muhammad b. Ishaq bahawa setelah selesainya penduduk Khaibar
berurusan mengenai hal tersebut, maka gentar dan takutlah hati mereka.
Mereka lalu mengutus rombongan untuk berdamai dan Rasulullah s.a.w. pun
menerima permintaan mereka dengan bayaran separuh tanah Fadak diserahkan
kepada baginda.
Utusan mereka datang ke Khaibar, atau di
pertengahan jalan ke Khaibar selepas Rasulullah s.a.w. berada di Madinah
sebelumnya, lalu bagindapun menerima permintaan damai mereka itu.
Adapun tanah Fadak tersebut menjadi milik Rasulullah s.a.w. secara
khusus kerana ianya diperolehi tanpa melalui jalan peperangan sedikitpun
sama sekali. Ada pula riwayat yang mengatakan bahawa yang diserahkan
kepada baginda itu adalah keseluruhan Fadak sebagai syarat damai
sementara ada pula yang mengatakan hanya separuh sahaja dari Fadak yang
diserahkan, Allah jualah yang Maha mengetahui mana yang lebih benar
diantaranya.
Tidak ada perselisihan pendapat antara ‘ulamak
Syi’ah, para sejarawan dan para mufassirinnya tentang tanah Fadak yang
diberikan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah. Sangat banyak
riwayat-riwayat Ahl al-Bait yang menjelaskan mengenai hal ini, malah
perawi dari madzhab lain juga turut mengakui akan berlakunya pemberian
ini, namun cukuplah kami sebutkan sebahagian sahaja daripada
riwayat-riwayat tersebut.
Patut juga disebut bahawa tanah Fadak telah menjadi
milik Fatimah selama tiga tahun sejak diberikan oleh bapanya, dan tidak
ada sesiapa pun yang menentang pemberian tersebut.
Fadak adalah pemberian atau hadiah kepada Fatimah
Tanah Fadak memang merupakan satu pemberian Nabi s.a.w. kepada Fatimah,
oleh itu ada di kalangan para khulafa’ yang kemudiannya telah memulangkannya kembali kepada keturunan Fatimah,
sedangkan yang lain pula merampasnya kerana mencontohi perbuatan Abu Bakar.
Daripada Abu Bakar al-Jauhari, yang berkata,
diriwayatkan oleh Hisyam b. Muhammad dari pada bapanya, yang berkata
bahawa Fatimah berkata kepada Abu Bakar,
“Ummu Aiman menjadi saksiku
bahawa Rasulullah s.a.w. memberi Fadak kepadaku.”
Abu Bakar menjawab,
“Wahai Puteri Rasulullah…harta
ini (Fadak) bukannya kepunyaan Nabi s.a.w., sebaliknya ia adalah
kepunyaan kaum Muslimin yang dipegang oleh Nabi s.a.w. untuk dinafkahkan
di jalan Allah. Aku hanya mengambil alih untuk meneruskan amalan itu
apabila Rasulullah s.a.w wafat,.”
Kata Fatimah,
“Demi Allah, aku tidak akan bercakap denganmu lagi.”
Jawab Abu Bakar,
“Demi Allah aku tidak akan berhijrah meninggalkan kamu.”
Kata Fatimah,
“Demi Allah aku akan berdo’a (keburukan) ke atas kamu.”
Jawab Abu Bakar.
“Demi Allah aku akan berdoa’ (kebaikan) untukmu.”
Ketika Fatimah hampir wafat, ia berwasiat melarang
Abu Bakar solat ke atas jenazahnya, maka jenazahnya dikebumikan pada
malam hari.
Ditakhrijkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, Ibn Abi Hatim dan Iban Mardawaih, dari Abu Sa’id al-Khudri katanya,
“Ketika turun ayat:
وءات ذاالقربی حقه
‘Dan berikanlah kepada kerabatmu haknya’ (Surah
al-Isra’ ayat 26), maka Rasulullah pun memanggil Fatimah dan memberikan
kepadanya tanah Fadak.”
Juga diriwayatkan dari berbagai saluran, selain saluran Abu Sa’id al-Khudri seperti yang disebut oleh penulis kitab Kanz al-‘Ummal, bahawa apabila turunnya firman Allah
وءات ذاالقربی حقه
“Dan berikanlah kepada kerabatmu haknya,” Nabi s.a.w pun memanggil Fatimah dan memberikan kepadanya tanah Fadak.
Ditakhrijkan oleh Ibn Mardawaih, daripada Ibn ‘Abbas katanya,
“Apabila turun ayat:
وءات ذاالقربی حقه
“Dan berikanlah kepada kerabatmu haknya”, Rasulullah s.a.w pun memberikan tanah Fadak kepada Fatimah.”
Dari Abu Sa’id katanya, apabila turun ayat:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu haknya”, Rasulullah s.a.w pun memanggil Fatimah dan
memberikan kepadanya tanah Fadak.
Fadak adalah hak Fatimah
Selepas Nabi s.a.w. kembali ke Madinah, turunlah Jibrail membawa ayat,
وءات ذاالقربی حقه، والمسکین وابن السبیل و لا تبذر تبذیرا
“Dan berikanlah kepada kearabatmu, dan orang miskin
serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.”
Maka Nabi s.a.w pun berfikir, siapakah kerabat yang
disebutkan itu? Dan apakah hak mereka itu? Kemudian turunlah Jibrail
sekali lagi bertemu Nabi s.a.w. lalu berkata,
“Sesungguhnya Allah SWT
memerintahkanmu memberikan tanah Fadak kepada Fatimah, lalu Nabi s.a.w.
pun memanggil Fatimah dan berkata kepadanya,
“Sesungguhnya Allah Ta’ala
memerintahkanku memberikan tanah Fadak kepadamu.” Oleh itu tanah itu
pun menjadi milik Fatimah dan beliau membelanjakan hasilnya kepada orang
miskin.
Seperti ini jugalah tafsiran para mufassirin
terkenal di kalangan ‘ulamak Ahl al-Sunnah, iaitu apabila turun ayat
yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada kerabatmu haknya”, Nabi s.a.w.
pun memanggil Fatimah lalu memberinya tanahFadak.
Sejak itu tanah Fadak berada di dalam pemilikan
Fatimah. Ia diurus dan diusahakan oleh para pekerjanya dan hasilnya
diberikan kepada Fatimah sejak zaman Nabi .s.a.w. lagi. Dengan itu
Fatimah bebas membelanjakan pendapatannya dari hasil tanah tersebut;
sama ada dinafkahkan untuk kegunaan dirinya sendiri, keluarganya, atau
disedekahkan kepada orang miskin dan kepada yang memerlukan bantuan.
Namun setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Abu Bakar menghantar
sekumpulan orang untuk menghalau perkerja Fatimah dari tanah Fadak dan
kemudian telah merampasnya serta melakukan perbuatan yang menggambarkan
permusuhan.
Hukum Fiqh berkaitan Fadak
Apabila seseorang itu, misalnya A mendakwa bahwa
harta yang ada di tangan seorang lain (B) adalah miliknya, sedangkan
harta itu mungkin dimiliki oleh B dengan cara hibah (pemberian) atau
diwarisi dan sebagainya, maka dalam keadaan ini B boleh meminta A
memberi bukti tentang hakmilik itu.
Begitu juga halnya kalau seseorang mendakwa bahwa
harta yang ada di tangan seorang lain adalah miliknya kerana telah
diwasiatkan supaya ia mengambilnya, maka orang pertama itu adalah
pendakwa (plantif) dan orang kedua adalah respondan. Dalam kes begini
hakim meminta plantif mengadakan bukti untuk menetapkan pemilikannya.
Kata seorang alim, iaitu al-marhum al-Na’ini, kes Fadak adalah satu cabang kecil daripada peraturan hukum fiqh ini.
Tanah Fadak sebenarnya telah dimiliki oleh Fatimah
sejak beberapa tahun lamanya, oleh itu beliau merupakan penguasa (Dhu
al-yad) ke atas tanah tersebut, sebagaimana katanya, “Fadak telah
dihadiahkan kepadaku.” Sekalipun Fadak telah dihadiahkan Nabi s.a.w.
kepada Fatimah, Abu Bakar pula mengatakan bahawa Nabi s.a.w. telah
mewasiatkannya untuk diberikan kepada kaum Muslimin seluruhnya. Oleh itu
Abu Bakar mestilah mengemukakan bukti.
Imam ‘Ali a.s. menegaskan bahwa Fatimah a.s. adalah
pemilik sah Fadak dan mengatakan ia adalah hadiah dari bapanya, oleh
itu Abu Bakar hendaklah mengadakan bukti bagi dakwaan yang mengatakan
sebaliknya.
Abu Bakar bepegang kepada satu Hadis yang
bermaksud, “Kami para nabi tidak meninggalkan pusaka, apa yang kami
tinggalkan adalah sadaqah.” Sedangkan maksud “apa yang kami tinggalkan
adalah sadaqah” itu sebenarnya ialah para nabi bukanlah ahli dunia yang
mengejar kekayaan dan mengumpul harta lalu menjadikannya sebagai warisan
pusaka. Oleh itu Hadis tersebut menafikan para nabi sukakan dunia
kerana sifat yang demikian itu berlawanan dengan sifatnya para rasul
utusan Allah Ta’ala.
Kesimpulannya, Hadis di atas bermaksud seperti yang
telah disebutkan, kerana mereka adalah pemimpin ummah, menyeru kepada
akhirat dan tidak tertawan oleh dunia.
Andainya ia bermaksud mereka tidak meninggalkan pusaka, maka ia adalah berlawanan dengan ayat al-Qur’an yang terang menyatakan,
وورث سلیمان داود
“Dan Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Dawud.” (Surah al-Naml ayat 16)
Juga ayat,
فهب لی من لدنک یرثنی و یرث من ءال یعقوب، و اجعله رب رضیا
“…oleh itu kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang
anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Ya’qub;
dan jadikanlah dia wahai Tuhanku, seorang yang diredai dan disukai.”
(Surah Maryam ayat 5-6)
Cara pembahagian pusaka juga diterangkan dalam ayat:
یوصیکم الله فی اولادکم
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian
pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki
menyamai dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa’ ayat 11)
Oleh yang demikian Hadis dan percakapan Abu Bakar
itu menyalahi kalam Allah Ta’ala dan ayat al-Qur’an yang terang dan
jelas. Selain itu Fatimah adalah penghulu wanita dari awal hingga akhir,
beliau mengetahui segala hukum hakam Ilahi, jadi bagaimana Abu Bakar
berani menentang pendapatnya?
Imam ‘Ali a.s. meminta Abu Bakar menunjukkan bukti
tentang dakwaannya, kerana Fadak telah berada di dalam milik Fatimah.
Kemudian ‘Ali bertanya kepada Abu Bakar,
“Kepada siapakah diturunkan
ayat
انما یرید الله لیذهب عنکم الرجس اهل البیت و یطهرکم تطهیرا
‘…sesungguhnya Allah hendak menghapuskan perkara
yang mencemarkan diri kamu, wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan
kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”? (Surah
al-Ahzab ayat 33).
Abu Bakar menjawab,
“Ayat itu diturunkan kepada kamu.”
‘Ali a.s. pun berkata,
“Kalau ada saksi mengatakan
Fatimah .a.s melakukan perkara munkar (wal-‘iyazubillah) adakah kamu
menjalankan hukum hudud kerana kesalahan itu”?.
Jawab Abu Bakar,
“Ya.”
Kata ‘Ali pula,
“Kalau begitu anda telah menolak
kesaksian Allah terhadap Fatimah, (kerana Allah telah menyaksikan bahawa
Fatimah telah disucikan) lalu anda mengambil kesaksian manusia. Anda
telah membatalkan hukum Allah Ta’ala dan Rasul-Nya dengan merampas tanah
Fadak yang telah berada di tangan Fatimah semasa hayat bapanya lagi,
sedangkan anda percaya bahawa anda tergolong di kalangan kaum Muslimin
dengan perbuatan itu. Anda perlulah mengemukan bukti kerana Nabi s.a.w.
bersabda, maksudnya,
“Bukti keterangan hendaklah dibuat oleh yang
mendakwa dan sumpah hendaklah dibuat oleh yang terdakwa.”
Daripada Ibn Abi al-Hadid, disampaikan oleh Abu
Bakar al-Jauhari, dengan sanadnya dari berbagai saluran yang sampai
kepada Zainab al-Kubra binti Fatimah al-Zahra’ dan kepada Husain b.’Ali
b. Abi Talib, daripada bapanya a.s. juga kepada Imam al-Baqir Ja’far b.
Muhammad b. ‘Ali a.s., dan kepada ‘Abdullah b. al-Hasan al-Muthanna Ibn
al-Imam al-Hasan cucu Nabi s.a.w., semuanya meriwayatkan sebagai
berikut:
Apabila Fatimah sampai ke tempat Abu Bakar, telah
ramai di kalangan Muhajirin dan Ansar yang hadir di situ, mereka
menangis melihat Fatimah kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w.
Fatimah lama berdiam diri dan suasana menjadi
senyap sepi, kemudian baharulah ia berkata, “Aku bermula dengan pujian
ke atas yang lebih aula diberi pujian, yang Maha tinggi dan Maha agung.
Segala puji bagi Allah di atas nikmat-Nya dan syukur ke atas segala
pemberian-Nya.”
Kemudian Fatimah memberi ucapan atau khutbah yang panjang dan pada akhirnya
ia barkata,
“Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan ta’atlah kepada
segala suruhan-Nya,
انما یخشی الله من عباده العلماءوا
“…sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.”
“Pujilah Allah yang dengan kebesaran-Nya dan
cahaya-Nya seluruh isi langit dan bumi mencari wasilah untuk
mengenal-Nya, kami (Ahl al-Bait) adalah wasilah bagi sekelian
makhluk-Nya, kami adalah hujjah dalam keghaiban-Nya dan kami adalah
waris bagi para anbiya’-Nya.”
Kemudian katanya lagi,
“Aku ialah Fatimah anak
perempuan Muhammad, aku mengatakan hal ini berulang kali, namun aku
bukanlah mengatakannya secara berlebihan dan melampau, dengarlah dengan
pendengaran yang sedar dan hati yang terbuka.
Firman Allah:
یا ایها النبی قل لازواجک ان کنتن تردن الحیوة الدنیا و زینتها فتعالین امتعکن و اسرحکن سراجا جمیلا
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang
rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat keberatan
kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat
lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan
perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.”
“Jika kamu memuliakannya, maka kamu akan dapati
beliau adalah bapaku, bukannya bapamu.” Kemudian Fatimah menyambung
percakapnnya dengan panjang lebar.
Pada akhir ucapannya beliau berkata,
“Sekarang kamu mendakwa bahawa aku tidak boleh menerima pusaka bapaku:
افحکم الجاهلیة یبغون و من احسن من الله حکما لقوم یوقنون
“Sesudah itu patutkah mereka bekehendak lagi kepada
hukum-hukum Jahiliyah? (pada hal pada orang yang penuh keyakinan) tidak
ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”
(Surah al-Maidah ayat 50)
“Wahai kaum Muslimin sekelian, pusaka bapaku telah
dirampas daripadaku, adakah dengan hukum Allah wahai Abu Qahafah (Abu
Bakar) kamu mewarisi pusaka bapamu, sedangkan aku tidak boleh mewarisi
pusaka bapaku? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu perkara yang
besar kesalahannya!” Hingga akhir khutbahnya.
Disebutkan dalam riwayat lain, seperti dalam kitab
al-Saqifah wa Fadak oleh Abu Bakar al-Jauhari dan lain-lain kitab,
bahawa Fatimah berkata di dalam khutbahnya:
“Adakah dengan sengaja kamu meninggalkan kitab Allah dan membuangkannya ke belakang sedangkan Allah berfirman:
وورث سلیمان داوود
“Dan Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Dawud.” (Surah al-Naml ayat 16)
“Allah menceritakan pula tentang Nabi Yahya dan Zakariya, firman-Nya:
...فهب لی من لدنک ولیا یرثنی و یرث من ءال یعقوب، واجعله رب رضیا
“…oleh itu kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang
anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Ya’qub;
dan jadikanlah dia wahai Tuhanku, seorang yang diredai dan disukai.”
(Surah Maryam ayat 5-6)
“Allah juga menyatakan,
یوصیکم الله فی اولادگم
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian
pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki
menyamai dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa’ ayat 11)
“Kamu mendakwa bahawa aku tidak mempunyai habuan
dan tidak boleh mewarisi pusaka dari bapaku. Adakah terdapat ayat hukum
Allah yang mengeluarkan bapaku dari hukum asas yang telah disebutkan?
Atau adakah kamu mengatakan kalau dua orang yang berlainan agama tidak
boleh mewarisi antara satu sama lain? Tidakkah aku dan bapaku mempunyai
agama yang satu? Atau adakah kamu lebih mengetahui tentang al-Qur’an
lebih daripada bapaku sama ada makna khusus atau makna umumnya? Firman
Allah,
افحکم الجاهلیة یبغون، و من احسن من الله حکما لقوم یوقنون
“Sesudah itu patutkah mereka bekehendak lagi kepada
hukum-hukum Jahiliyah? (pada hal pada orang yang penuh keyakinan) tidak
ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”
(Surah al-Maidah ayat 50)
Demikianlah seperti apa yang diceritakan oleh al-Jauhari.
Hujjah-hujjah Imam ‘Ali a.s. dalam mensabitkan hak Fatimah al-Zahra’.
Imam ‘Ali berkata kepada Abu Bakar di hadapan
beberapa orang Muhajirin di dalam masjid, “Kenapa dilarang Fatimah
mewarisi tanah Fadak yang telah dihadiahkan oleh Rasulullah kepadanya
dan menjadi miliknya sejak masa itu.”?
Jawab Abu Bakar,
“Harta ini menjadi hak kaum
Muslimin.”
Lalu ia memberikan hujjah bersandarkan Hadis (rekaannya) yang
berbunyi,
“Apa yang kami tinggalkan adalah sadaqah.”
Untuk tujuan peribadinya dan untuk mencegah Fatimah
daripada mendapat haknya, Abu Bakar menambah bahagian kedua Hadis
tersebut, iaitu ungkapan, “Apa yang kami tinggalkan adalah sadaqah.”
Ungkapan ini diletakkan secara bersambung dengan ungkapan pertama iaitu,
“Kami para nabi tidak mewariskan pusaka.” Kemudian kedua ungkapan ini
diriwayatkannya kepada orang ramai.
Imam ‘Ali berkata lagi kepada Abu Bakar,
”Wahai Abu
Bakar, adakah anda menghukum kami berlainan dengan hukum Allah yang
dikenakan kepada seluruh kaum Muslimin? Andainya ada seorang Muslim
memegang sejenis harta dan menggunakannya sesuka hati dengan alasan
harta itu miliknya, lalu aku mendakwa bahawa harta itu milikku, maka di
pihak manakah yang anda minta bukti”?
Jawab Abu Bakar,
“Di pihak anda.”
Kata Imam ‘Ali pula,
“Sekarang mengapa pula anda
meminta bukti dari Fatimah, sedangkan harta itu telah berada di
tangannya dan telah memilikinya sejak zaman bapanya Rasulullah s.a.w.
dan terus memilikinya hingga sesudah bapanya wafat? Mengapa anda tidak
meminta bukti dari kaum Muslimin yang mendakwa bahawa harta itu adalah
harta mereka”?
Abu Bakar diam dan tidak dapat memberikan jawaban.
Lalu ‘Umar berkata,
“Tinggalkanlah kami dengan keadaan kami ini, kerana
kami tidak dapat berhujjah dengan anda, jika ada saksi-saksi yang adil,
maka tanah itu adalah hak Fatimah, kalau tidak ia adalah harta fai’
(harta yang ditinggalkan musuh) dan menjadi hak kaum Muslimin.”
Maka kata Imam ‘Ali,
“Wahai Abu Bakar adakah anda membaca al-Qur’an.”?
“Ya.” Sahut Abu Bakar.
Lalu kata Imam ‘Ali lagi,
“Katakan kepadaku tentang
ayat al-Qur’an yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah hanyalah hendak
menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu, wahai Ahl
al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala
perkara yang keji).” Kepada siapakah ayat ini diturunkan? Kepada kami
atau kepada orang lain daripada kami.”?
Jawab Abu Bakar,
“Kepada kamulah ayat ini diturunkan.
Lalu kata Imam ‘Ali,
“Andainya ada saksi mengatakan
Fatimah melakukan kekejian (na’udhubillah), apakah yang kamu akan
lakukan?
Abu Bakar menjawab,
“Aku akan menjalankan hukum hudud ke
atasnya sebagaimana juga yang dikenakan kepada seluruh kaum Muslimin.”
Kata Imam ‘Ali, “Kalau begitu anda kafir.”
“Mengapa pula.”? Tanya Abu Bakar.
Jawab Imam ‘Ali,
“Kerana anda mengingkari kesaksian
Allah T’ala yang telah menetapkan kesucian Fatimah, sebaliknya anda
menerima kesaksian manusia terhadapnya. Ini bererti anda telah menolak
hukum Allah dan Rasul-Nya tentang hak Fatimah dalam hal tanah Fadak dan
anda berpendapat ia adalah harta kaum Muslimin seluruhnya, sedangkan
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Bukti adalah bagi pendakwa dan sumpah adalah bagi yang kena dakwa.”
Para hadirin yang ada di majlis itu pun saling
berbisik dan merasa sangat setuju dengan pendapat Imam ‘Ali,[22] tetapi
Abu Bakar dan para khulafa’ yang lain tidak ingin mendengar pendapat
‘Ali ini kerana kepentingan diri mereka, lalu mereka merampas tanah
Fadak, sedangkan mereka mengetahui kebenaran itu di pihak ‘Ali.[23] Ini
kerana pada pandangan mereka kalau tanah Fadak itu berada di dalam milik
Fatimah, ia akan membahayakan kedudukan khilafah mereka, kerana
kononnya orang ramai akan menyokong ‘Ali. Tetapi sejak bila pula ‘Ali
menghimpunkan orang di sekelilingnya dengan menggunakan pengaruh harta?
Imam 'Ali mempertahankan tanah Fadak
Imam ‘Ali tetap bersabar di atas kezaliman para
khulafa’ terhadap dirinya, di antaranya ialah kesabaran di atas
perampasan tanah Fadak. Ini dilakukannya semata-mata ingin hendak
menjaga agama dan umat Islam daripada berpecah.
Adapun para khulafa’ pula, mereka merancang hendak
menghapuskan Islam dan menggunakan berbagai cara untuk mencapai tujuan
mereka. Oleh itu Imam ‘Ali telah menulis sepucuk surat kepada Abu Bakar
apabila Abu Bakar merampas tanah Fadak. Dalam surat itu Imam ‘Ali telah
menerangkan hakikat sebenarnya kedudukan tanah tersebut. Surat itu penuh
dengan bahasa kiasan
Kandungan surat 'Ali a.s. kepada Abu Bakr tentang Fadak
Kata Amir al-Mu’minin ‘Ali dalam risalahnya kepada
Abu Bakar setelah beliau mendengar percakapan Abu Bakar yang merampas
tanah Fadak daripada Fatimah a.s.:
“Kamu sekelian telah mengharung lautan gelora dan
dilambung ombak fitnah dengan meninggalkan bahtera keselamatan (Ahl
al-Bait), kamu juga membuang mahkota kemuliaan dengan pertolongan
golongan penipu, kamu mencari cahaya dalam cahaya dan merompak harta
pusaka Ahl al-Bait yang suci dan disucikan, lalu kamu menanggung dosa
kerana merampas pemberian Nabi pilihan. Aku melihat kamu seperti orang
buta yang meraba-raba dan teragak-agak berjalan dan berkeliling seperti
berjalannya unta berkeliling menarik kincir atau kisar tepung. Demi Allah,
kalau aku diizinkan melakukan sesuatu yang kamu tidak tahu, aku akan
tuai (potong) kepala kamu sehingga bercerai dari badan seperti aku
menuai tanaman yang sedang berbuah dengan menggunakan pedang besi, aku
juga boleh mencabut tengkorak pahlawan kamu yang berani dengan cukup
dahsyat dan ganas, kerana sejak aku berperang aku tidak pernah dikalahkan
dan semua pahlawan kafir Quraisy aku musnahkan. Sekarang kamu
mengatakan bahawa kami tidak boleh mendapat nubuwwah dan khilafah
keduanya sekali serta kamu mula menyebut semula dendam terhadapku kerana
membunuh pahlawan kafir Quraisy di perang Badar dan Uhud.”
Demi Allah kalau tidak kerana sebab yang telah ku
sebutkan, iaitu perkara ini telah ditakdirkan, nescaya tulang rusuk kamu
akan ku tolak masuk ke dalam perut kamu seperti gigi roda kincir
bersilang masuk mengikut alurnya yang ditetapkan. Andai kusebutkan
perkara ini, kamu mengatakan aku berhasad dengki, tetapi seandainya aku
diam, kamu akan mengatakan Ibn Abi Talib ini takut mati. Sebenarnya aku
sekali-kali tidak takut mati, tidak takut menempuh maut walaupun di
tengah malam yang gelap pekat. Aku punya dua bilah pedang yang berat dan
dua lembing yang panjang, akulah pembawa bendera dalam peperangan
merempuh musuh, akulah pembuka jalan bagi segala halangan yang
menentang. Demi Allah! Bagi Ibn Abi Talib, maut itu adalah teman yang
mesra, lebih daripada anak kecil yang bermesra dengan ibunya. Kalau aku
terangkan dan tafsirkan apa yang ada di dalam kitab Allah tentang diri
kamu, nescaya kamu akan menggelabah dan menggeletar sebagaimana
menggeletarnya bulu-bulu burang ditiup angin dan kamu akan keluar dari
rumah melarikan diri dengan keadaan hina dan dukacita. Tetapi aku
menahan perasaanku, sehingga aku bertemu Tuhanku dengan tangan kosong,
tidak merasai sebarang kelazatan dan kemewahan seperti kamu. Bagiku
dunia kamu itu adalah seperti awan yang naik tinggi lalu mengumpul wap
hujan, kemudian turun menjadi hujan lalu hilang lesap begitu sahaja.
“Lambat laun hakikat kebenaran akan jelas
kelihatan, seperti jelasnya pandangan selepas debu peperangan turun dan
berakhir. Kamu akan menuai buah dan hasil kejahatan yang kamu tanam,
kamu akan dapat hasil usaha kamu berupa racun pahit yang berbisa serta
membunuh dengan serta merta. Cukuplah Allah menjadi hakim, Rasulullah
sebagai tempat bicara atau berhukum dan Kiamat tempat kita berdiri
menanti hukuman. Allah tidak akan melepaskan sesiapa pun dari
hukuman-Nya. Salam ke atas orang yang mengikuti pertunjuk.”
Apabila Abu Bakar membaca surat itu, ia pun merasa
sangat takut, seram dan gementar, lalu ia berkata, “Subhanallah,
alangkah beraninya tindakanku sedangkan orang lain tidak berani
melakukannya.
“Wahai kaum Muhajirin dan Ansar, kamu mengetahui
bahawa aku bermesyuarat dengan kamu tentang tanah Fadak selepas wafatnya
Rasulullah s.a.w. lalu kamu berkata bahawa para nabi tidak meninggalkan
harta pusaka dan harta ini wajiblah dicampurkan dengan harta fai’ serta
digunakan untuk membeli binatang tunggangan dan alat senjata serta
dibelanjakan untuk tujuan jihad dan menjaga sempadan negara. Oleh itu
kita menurut dan setuju dengan pendapat kamu, tetapi orang yang mendakwa
haknya tidak setuju, sekarang ia memberi ugutan dan janji buruk serta
ancaman. Dia memberi alasan kerana hak dan hubungan dengan Nabinya
Muhammmad s.a.w., oleh itu demi Allah aku menarik diri dari keputusan
tadi dan tidak akan meneruskannya karena aku tidak suka kepada ‘Ali b.
Abi Talib dan tidak mahu bersengketa dengannya. Siapakah yang berani
melawan ‘Ali dan mengalahkannya.”?
Jawab ‘Umar b. Al-Khattab,
“Mengapa kamu tidak
boleh bercakap perkara lain selain ini? Tidakkah kamu selalu mendahului
dalam peperangan dan pemurah pula ketika kesempitan? Subhanallah!
Alangkan kecilnya hati dan jiwa kamu. Kami telah memilih kamu sebagai
pelindung tempat kami minum air, tetapi kamu tetap juga enggan dan terus
merasa dahaga, sedangkan pada ketika ini semua orang Arab telah tunduk
serta patuh kepada kamu. Kamu telah menguasai golongan berpengaruh dan
pandai mentadbir, kalau tidak tentulah ‘Ali b.Abi Talib telah
menghancurkan tulang temalang kamu menjadi debu. Pujilah Allah yang
telah memberi peluang kepada kamu, bersyukurlah kepada-Nya, kerana
sesiapa yang dapat naik ke atas mimbar Rasulullah s.a.w. patutlah ia
bersyukur kepada-Nya. Adapun ‘Ali b. Abi Talib ini adalah seperti batu
pejal yang keras dan tidak akan mengalirkan airnya kecuali dipecahkan,
juga seperti ular yang berbisa yang hanya dapat dijinakkan dengan jampi,
atau seperti pohon kayu yang pahit, kalau disapu dengan madu pun ia
tetap pahit juga. Dia telah membunuh para pembesar Quraisy sehingga
musnah semuanya, dia juga mempermalukan mereka semalu-malunya. Sekarang
ini kamu telah mendapat tempat yang teguh dan selesa, oleh itu kamu
jangan takut kepada ancamannya dan jangan gentar kepada gertakannya,
kerana aku akan menutup pintunya sebelum ia menutup pintu kamu.”
Lalu Abu Bakar menjawab,
“Aku merayu kepada kamu
dengan nama Allah wahai ‘Umar, janganlah ikutkan perasaan marah dan
melakukan kekerasan, demi Allah kalau Ibn Abi Talib itu mahu membunuhku
dan membunuhmu, kita akan mati terbunuh dengan kuasa tangan kirinya
sahaja tanpa menggunakan tangan kanannya. Kita tidak akan terlepas dan
selamat darinya kecuali disebabkan tiga perkara berikut, iaitu
pertamanya dia (‘Ali) hanya berseorangan, tidak ada siapa yang
membantunya. Kedua dia tetap mengikut wasiat sepupunya Rasulullah s.a.w.
terhadap kita, iaitu dia dilarang bertindak. Ketiga semua kabilah Arab
yang diperanginya ketika mereka menentang Islam telah dilanyaknya
seperti unta muda melanyak tanaman di musim bunga. Ketahuilah bahawa
kalau tidak kerana tiga sebab ini, kepimpinan umat ini akan dapat ke
tangannya walaupun kita benci kepadanya. Adapun dunia ini tidak ada erti
langsung baginya, dia takut kepada kemewahan dunia seperti kita takut
menemui ajal kematian.
“Lupakah kamu kepada peristiwa pada hari peperangan
Uhud? Pada ketika itu kita semua telah lari naik ke atas bukit,
sedangkan ‘Ali telah dikepung di segenap sudut oleh tentera musuh yang
terdiri dari semua pahlawan terbilang mereka dan mereka berazam hendak
membunuhnya, tidak ada jalan keluar bagi ‘Ali, tetapi kemudian ia
memusing tunggangannnya sehingga tikaman musuh tidak mengenainya,
seterusnya ia berdiri di atas binatang tunggangannya sambil mengetuk
pelananya ia berkata,
“Ya Allah, ya Allah, ya Jibrail, ya Jibrail, ya
Muhammad, ya Muhammad, kejayaan, kejayaan.” Kemudian dia menuju ke arah
ketua kaum itu lalu menetak dengan senjatanya hingga terbelah dua,
selepas itu dia pergi kepada pembawa bendera lalu membelah kepalanya
hingga ke badan dan kepala binatang tunggangannya, semuanya terbelah
dua. Apabila melihat kejadian itu, semua musuh pun melompat melarikan
diri, tetapi ada yang menjadi mangsa pedangnya lalu jatuh ke bumi
belumuran tanah dan darah serta melayanglah nyawa mereka. Adapun kita
akan menerima nasib yang sama atau lebih teruk lagi kalau kita tidak
dapat menahan perasaan dan terus melawannya dengan pedang. Oleh itu kita
hendaklah memalingkan perhatiannya kepada perkara lain dan berlembut
dengannya. Ketahuilah bahawa kalau tidak kerana satu ayat yang
diturunkan dari Kitab Allah nescaya kita tentu akan binasa, ayat itu
ialah firman Allah:
ولقد عفا عنکم
“…dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu.”
“Oleh itu tinggalkanlah lelaki ini, janganlah kamu
terpedaya dengan kata-kata Khalid yang mengatakan bahawa dia boleh
membunuhnya, kerana Khalid tidak akan dapat melakukannnya, sebaliknya
kalau dia cuba memanahnya, maka Khalid akan jadi orang pertama yang
terbunuh oleh tangannya, kerana memang keturunan ‘Abd Manaf kalau
menyerang akan mengalahkan musuh terutamanya ‘Ali b. Abi Talib yang
merupakan taringnya yang terbesar, kemuncak belakangnya yang terpanjang
dan kepalanya yang terbesar. Salam ke atas mereka yang menurut
pertunjuk.”
Imam ‘Ali berdiam diri dan bertenang supaya tidak
berlaku huru hara dan perang saudara dalam negeri, kerana beliau melihat
bahawa menuntut haknya dalam suasana yang ada pada masa itu akan
membahayakan agama dan menghapuskan Islam, bahawa seandainya berlaku
perang di kalangan sesama kaum Muslimin, maka banyaklah mereka yang
menanti peluang untuk murtad atau kembali semula kepada zaman sebelum
Islam. Oleh itu, banyak riwayat di kalangan Ahl al-Bait menyatakan
bahawa sekembalinya Fatimah Zahra’ a.s. dari masjid setelah memberikan
khutbahnya yang penting dengan membentangkan hujjah yang sangat kuat ke
atas pihak lawan, beliau pun berkata pula kepada Abu al-Hasan (‘Ali),
“Wahai Ibn Abi Talib, anda bersifat seperti janin (anak dalam
kandungan), duduk di bilik seperti orang tidak yakin, anda membatalkan
perjuangan menentang penyelewengan, lalu anda dikhianati kerana sikapmu
yang mengasingkan diri. Ibn Abi Qahafah ini telah merampas pemberian
bapaku dan bekalan dua anak lelakiku, dia dengan terang memusuhiku dan
aku telah pun mengecamnya…”
‘Ali menjawab,
“Kawallah perasaanmu dan sabarlah
wahai puteri Nabi pilihan dan baki kenabian, aku tidak mencuaikan urusan
agamaku dan tidak pula tersalah dalam menilai kudratku, jika anda
mahukan sumber makanan, maka rezekimu dan kehidupanmu adalah terjamin.
Apa yang aku dapat sediakan adalah lebih banyak dan baik daripada apa
yang diberikan kepadamu.”
Seterusnya para perawi meriwayatkan, sedang ‘Ali
bercakap dengan Fatimah dan menenangkan hatinya, azan pun berkumandang
dari masjid, lalu ‘Ali berkata kepada Fatimah,
“Wahai puteri Rasulullah,
jika anda ingin mendengar suara azan ini terus berkumandang di udara
dan mengingatkan anda kepada masa hayat bapamu Rasulullah s.a.w. maka
berserahlah kepada Allah dan bersabarlah.”
Maka jawab Fatimah,
“Aku berserah kepada Allah.” Kemudian beliau pun diam.
Maka ‘Ali pun mengorbankan haknya dan hak isterinya
Fatimah, dan mereka pun berdiam diri demi untuk menjaga agama dan
syari’at Sayyid al-Mursalin dari hilang lesap dimakan huru-hara dan
peperangan.
Fatimah adalah wanita terbaik dan penghulu mereka
Terdapat berbagai riwayat Ahl al-Sunnah yang
mengakui bahawa Rasulullah s.a.w. beberapa kali bersabda bahawa Fatimah
a.s. adalah wanita terbaik. Sabda Nabi s.a.w. ini adalah keterangan
hakiki yang tidak dipedulikan oleh orang yang pertama merampas khilafah
(jawatan khalifah) sedangkan dia berhadapan dengan Fatimah tetapi
membelakangkan perintah Rasulullah s.a.w.
Ini terbukti dengan apa yang diriwayatkan oleh
‘Aisyah yang katanya pernah pada suatu masa, Fatimah a.s. datang
berjumpa Nabi s.a.w., beliau berjalan dengan gaya berjalan yang saling
tak tumpah persis cara berjalannya Rasulullah. Setelah sampai, dia pun
disambut oeh Nabi s.a.w.sambil bersabda, “Selamat datang anakku.”
Kemudian dipersilakannya duduk di sebelah kanan atau sebelah kiri.
Selepas itu, Rasulullah s.a.w. berbisik kepadanya, lalu dia menangis,
aku pun bertanya kepadanya mengapa dia menangis? Seterusnya Rasulullah
s.a.w. lalu berbisik lagi, lalu dia pun ketawa.
Aku pun berkata kepadanya,
“Aku tidak pernah
melihat seperti keadaan hari ini, duka dan gembira begitu berhampiran.”
Kemudian aku bertanya kepada Fatimah mengenai yang dikatakan oleh
Rasulullah s.a.w. itu.
Fatimah menjawab,
“Aku tidak akan membuka rahsia yang telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w.”
Kata ‘Aisyah lagi, setelah Rasulullah wafat aku pun
bertanya kepada Fatimah tentang rahsia itu, lalu jawabnya,
“Rasulullah
memberitahu kepadaku satu rahsia, iaitu pada kebiasaannya setiap tahun
Jibrail datang membentangkan al-Qur’an sekali sahaja, tetapi pada tahun
itu dua kali, katanya lagi, ini menunjukkan ajalnya telah dekat dan aku
adalah keluarganya yang paling awal menyusul dan mengikutnya. Mendengar
demikian aku pun menangis. Kemudian katanya, tidakkah kamu reda menjadi
penghulu seluruh wanita ahli syurga atau seluruh wanita kaum Mu’minin?
Mendengar demikian aku pun ketawa.”
Juga dari ‘Aisyah Umm al-Mu’minin yang berkata:
Pada suatu ketika, kami para isteri Nabi s.a.w. semuanya berada di
sisinya, tidak ada seorang pun yang tertinggal. Kemudian datanglah
Fatimah berjalan menuju kami dengan gaya jalan yang saling tak tumpah
dengan gaya jalannya Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah melihatnya,
bagindapun menyambut Fatimah dengan bersabda,
“Selamat datang anakku.”
Kemudian baginda mempersilakan Fatimah duduk di
sebelah kanan atau sebelah kiri dan memberitahu sesuatu secara rahsia,
lalu Fatimah menangis teresak-esak. Melihat kesedihan yang yang
ditanggung Fatimah, Rasulullah pun memberitahu sekali lagi secara
berahsia satu perkara lain pula, lalu Fatimah pun ketawa.
Kata ‘Aisyah lagi, aku pun berkata kepada Fatimah,
“Aku adalah salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. tetapi beliau telah
memberi keistimewaan kepadamu seorang dengan membisikkan satu rahsia,
sehingga kamu menangis.”
Setelah Rasulullah s.a.w. beredar aku pun bertanya lagi kepadanya,
“Apakah yang menyebabkan kamu begitu gembira.”?
Fatimah menjawab,
“Aku tidak akan membuka rahsia Rasulullah yang diberikan kepadaku.”
Setelah Rasulullah s.a.w.wafat, aku pun bertanya
lagi,
“Kamu telah berazam menyimpan rahsia itu semasa hayatnya, bolehkah
kamu khabarkan sekarang.”?
Fatimah menjawab,
“Sekarang ini bolehlah.”
Lalu beliau menceritakan kepadaku seperti berikut:
“Adapun rahsia pertama yang dibisikkan kepadaku
ialah bapaku mengatakan bahawa Jibrail biasanya membentangkan al-Qur’an
sekali setahun, tetapi pada tahun itu dua kali, ini menunjukkan ajalnya
telah hampir, oleh itu beliau menyuruhku bertaqwa kepada Allah dan
bersabar, lalu aku menangis seperti yang kamu lihat. Apabila beliau
melihat aku sangat bersedih, beliau lantas berbisik kepadaku kali kedua
dengan katanya, ‘Wahai Fatimah, tidakkkah kamu redha menjadi penghulu
wanita golongan Mu’minin atau penghulu wanita umat ini.’”?
Di dalam Sunan al-Tirmidhi, iaitu dalam bab Manaqib
Hasan dan Husain a.s., diriwayatkan dari Hudhaifah, katanya: Ibuku
bertanya kepadaku,
“Berapa lama kamu bersamanya.”? Maksudnya bersama
dengan Nabi s.a.w.
Jawabku.
“Aku sudah lama tidak berjumpa dengannya, sejak sekian-sekian lamanya.”
Ibuku terus mendesakku supaya menceritakan dengan
lebih lanjut lagi, lalu aku berkata kepadanya, “Benarkan aku pergi
berjumpa Nabi s.a.w. untuk bersolat maghrib bersamanya dan meminta do’a
supaya diampunkan dosaku dan dosa ibu sekali.”
Seterusnya aku pun pergi berjumpa Nabi s.a.w. dan
bersolat maghrib bersamanya, kemudian bersolat ‘isyak dan solat sunat.
Aku pun mengikuti semua solatnya dan apabila mendengar suaraku ia pun
bertanya,
“Siapakah ini, adakah kamu Hudhaifah.”?
“Ya.” Jawabku.
Rasulullah s.a.w. pun bertanya,
“Apakah hajat kamu,
untuk minta keampunan Allah ke atas kamu dan ibumu? Pada malam ini ada
satu mala’ikat yang tidak pernah turun ke bumi, ia telah meminta izin
daripada Tuhannya untuk memberi salam kepadaku dan memberi khabar
gembira, iaitu Fatimah adalah penghulu wanita ahli syurga sedangkan
Hasan dan Husain pula adalah penghulu pemuda ahli syurga.”
Daripada ‘Aisyah, katanya: Ketika Nabi s.a.w.
sedang sakit yang membawa kepada kewafatannnya, baginda bersabda kepada
Fatimah,
“Wahai Fatimah, tidakkah kamu redha menjadi penghulu wanita
seluruh alam, penghulu wanita umat ini dan penghulu wanita kaum
Mu’minin.”?
Juga diriwayatkan oleh ‘Imran b. Husain katanya,
bahawa Nabi s.a.w. bertanya kepadanya,
“Aku hendak pergi menziarahi
Fatimah kerana beliau sedang sakit, mahukah kamu pergi bersamaku.”?
“Bahkan, tentulah mahu!” Jawabku.
Kemudian kami pun pergi sehingga sampai ke pintu
rumah Fatimah lalu baginda pun memberi salam dan meminta izin masuk.
Kemudian baginda bersabda,
“Bolehkah aku masuk bersama seseorang yang
bersamaku.”?
Jawab Fatimah,
“Ya, dengan orang yang bersamamu wahai bapaku, tetapi demi Allah aku hanya punya kain buruk untuk dibuat tudung,”
Maka Nabi s.a.w. pun mengajarnya cara menutup
‘aurat dengan kain buruk tersebut. Kemudian Fatimah berkata,
“Aku tidak
ada kain penutup kepala.”
Lalu Nabi s.a.w. pun mengambil kain lusuh di
kepalanya dan menyuruh Fatimah menutup kepalanya dengan kain tersebut,
kemudian barulah kami masuk.
Nabi s.s.w. seterusnya bertanya,
“Bagaimana keadaanmu wahai anakku.”?
Jawab Fatimah,
“Aku sakit, tambahan pula tidak ada makanan untuk dimakan.”
Kata Nabi s.a.w. lagi,
“Wahai anak perempuanku, tidakkah kamu redha menjadi penghulu wanita seluruh alam.”?
Sahut Fatimah pula,
“Wahai bapaku, di mana pula kedudukan Maryam binti ‘Imran.”?
Kata Nabi s.aw. pula.
”Dia menjadi penghulu wanita
dalam alamnya dan kamu menjadi penghulu pada alam kamu pula. Demi Allah
aku telah mengkahwinkan kamu dengan seorang penghulu di dunia dan di
akhirat.”
Dari Jabir b. Samurah katanya, Nabi s.a.w telah
datang ke suatu majlis lalu baginda duduk kemudian berkata,
“Fatimah
sedang sakit.”
Kata para sahabat,
“Kalaulah kami dapat menziarahinya.”
Nabi s.a.w. pun bangun mengajak mereka pergi dan
berjalan hingga sampai ke pintu rumah Fatimah yang mempunyai alat
pengetuk pintu, lalu Nabi s.a.w. mengetuknya dan menyuruh Fatimah
berpakaian menutup aurat dan berkemas diri kerana beberapa orang ingin
menziarahinya.
Fatimah pun berkata,
“Wahai Nabi Allah, aku tidak mempunyai apa-apa kecuali sehelai kain buruk.”
Nabi s.a.w. pun mencampakkan kain selendangnya ke sebalik pintu sambil berkata,
“Gunakanlah kain ini untuk menutup kepalamu.”
Kemudian Nabi s.a.w. dan kumpulan tersebut pun
masuk ke dalam serta duduk seketika. Selepas itu mereka pun keluar
sambil berkata,
“Demi Allah! Anak perempuan Nabi kita s.a.w. dalam
keadaan begini (tiada pakaian kecuali kain buruk).”
Kata Jabir, aku pun berpaling kepada Nabi s.a.w.
lalu baginda bersabda,
“Sesungguhnya dia adalah penghulu wanita pada
hari Qiyamat.”
Terdapat juga riwayat dari Abu Hurairah, katanya:
Pada suatu hari yang panas, Rasulullah s.a.w. lambat datang menemui
kami, apabila menjelang petang, seorang daripada kami berkata,
“Kami
merasa susah hati kerana lambat melihatmu hari ini wahai Rasulullah.”
Jawab Rasulullah s.a.w,
“Ada satu malaikat di
langit yang belum pernah menziarahiku, lalu ia meminta izin dengan Allah
untuk menziarahiku dan memberitahu khabar gembira kepadaku, iaitu, anak
perempuanku Fatimah adalah penghulu wanita umatku serta Hasan dan
Husain pula adalah penghulu para pemuda ahli syurga.
Kata ‘Aisyah pula, ketika Rasulullah s.a.w. sakit,
iaitu sakit yang membawa kepada kewafatannya, baginda bersabda,
“Wahai
Fatimah anak perempuanku, tundukkan kepalamu ke arahku.”
Fatimah pun menundukkan kepalanya dan Nabi s.a.w.
pun membisikkan sesuatu kepadanya buat seketika, lalu kelihatan Fatimah
menangis dengan disaksikan oleh ‘Aisyah, kemudian Nabi s.a.w. menyuruh
Fatimah tunduk kepadanya sekali lagi dan membisikkan sesuatu, lalu
Fatimah ketawa.
‘Aisyah bertanya keapda Fatimah,
“Apa bapamu bisikkan.”?
Jawab Fatimah,
“Adakah kamu menyangka beliau
membisikkan rahsia kepadaku dan kemudian membuka pula rahsia itu kepada
orang semasa hayatnya.”?
‘Aisyah berasa marah kerana ada rahsia yang tidak
diketahuinya, sehinggalah Rasulullah s.a.w. wafat. Setelah itu baharulah
dia bertanya kepada Fatimah,
“Tidakkah boleh kamu ceritakan rahsia itu
sekarang.”?
Jawab Fatimah,
“Adapun sekarang ini bolehlah,
beliau berbisik kepadaku pada kali pertama dengan mengatakan bahawa
Jibrail selalunya turun membentangkan al-Qur’an sekali setiap tahun,
tetapi pada tahun itu ia membentangkannya dua kali. Beliau juga
mengatakan bahawa setiap seorang nabi yang datang, umurnya hanya separuh
daripada umur nabi sebelumnya, beliau seterusnya menerangkan bahawa
Nabi ‘Isa berumur 120 tahun, oleh itu tentulah beliau akan pergi pada
umur sekitar 60 tahun, iaitu separuh umur Nabi ‘Isa. Mendengarkan itu,
aku pun menangis. Kemudian beliau bersabda, ‘Wahai anak perempuanku,
tidak ada wanita kaum Mu’minin yang lebih menderita daripadamu, oleh itu
janganlah kamu menjadi perempuan yang paling kurang sabarnya.’ Kemudian
beliau berbisik kepadaku sekali lagi dan memberitahu bahawa aku adalah
orang yang pertama mengikutnya pergi ke alam akhirat dan mengatakan
sesungguhnya aku adalah penghulu wanita ahli syurga.”
Setelah itu kata ‘Aisyah kepada Fatimah binti
Rasulullah s.a.w.,
“Sesungguhnya aku juga memberi khabar gembira
kepadamu, iaitu aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda,
“Penghulu wanita
ahli Syurga ada empat orang, iaitu Maryam binti ‘Imran, Fatimah binti
Rasulullah s.a.w., Khadijah binti Khuwailid dan Asiah.
Diriwayatkan oleh al-Muttaqi al-Hindi daripada ‘Ali
a.s. bahawa Nabi s.a.w. bersabda kepada Fatimah a.s.,
“Tidakkah kamu
redha menjadi penghulu wanita ahli syurga dan dua anak lelaki kamu
menjadi penghulu pemuda ahli syurga.
Diriwayatkan juga dengan ungkapan,
“Tidakkah kamu
redha kerana aku kahwinkan kamu dengan orang yang pertama memeluk Islam
dan yang paling luas ilmunya di kalangan kaum Muslimin. Kamu juga
penghulu wanita umatku sebagaimana Maryam menjadi penghulu wanita
kaumnya. Tidakkah kamu redha wahai Fatimah, sesungguhnya Allah telah
melihat penduduk bumi, lalu Dia memilih dua orang lelaki, satu
daripadanya bapamu dan yang satu lagi suamimu.”
Diriwayatkan oleh al-Tabari, daripada Ibn ‘Abbas,
daripada Nabi s.a.w., sabdanya,
“Ada empat wanita yang menjadi penghulu
untuk zaman mereka masing-masing, iaitu Maryam binti ‘Imran, Asiah binti
Muzahim, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad s.a.w.,
tetapi yang paling berilmu di antara mereka ini ialah Fatimah.” Kata
al-Tabari, Hadis ini ditakhrijkan oleh al-Hafiz al-Thaqafi al-Asbahani.
Al-Suyuti juga menyebutkannya di dalam al-Durr al-Manthur, iaitu di hujung tafsiran ayat :
و اذ قالت الملائکةیا مریم ان الله اصطفک و طهرک علی نساء العالمین
“Dan ketika mala’ikat berkata:
‘Wahai Maryam,
sungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu
melebihi wanita-wanita seluruh alam (yang sezaman denganmu).’” (Surah
Ali ‘Imran ayat 42).
Kata al-Suyuti Hadis tentang Fatimah ini
ditakhrijkan oleh Ibn ‘Asakir dari saluran Muqatil, dari al-Dahhak, dari
Ibn ‘Abbas, dari Nabi s.a.w.
Diriwayatkan pula oleh al-Hakim dari Ibn ‘Abbas
katanya: Nabi s.a.w. telah mengggariskan empat garisan dan berkata,
“Tahukah kamu apa ertinya ini.”?
Jawab yang hadir,
“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Jawab Nabi s.a.w.,
“Sesungguhnya wanita yang paling
afdal (utama) ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad
s.a.w., Maryam binti ‘Imran dan Asiah binti Muzahim.”
Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr daripada Abu
Hurairah katanya, bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sebaik-baik wanita
di seluruh alam ialah empat orang, iaitu Maryam binti ‘Imran, Asiah
binti Muzahim, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad
s.a.w.”
Diriwayatkan juga dalam Kanz al-‘Ummal dengan
lafaz,
“Sebaik-baik lelaki kamu ialah ‘Ali, sebaik-baik pemuda kamu
ialah Hasan dan Husain, dan sebaik-baik wanita kamu ialah Fatimah binti
Muhammad.”
Menurut al-Munawi dalam Fath al-Qadir,
“Khadijah
ialah wanita terbaik dalam alamnya, Maryan wanita terbaik dalam alamnya,
Fatimah wanita terbaik dalam alamnya.” Katanya Hadis ini ditakhrijakan
oleh al-Harith b. Abi Usamah dalam musnadnya dari ‘Urwah b. al-Zubair.
Thabit al-Banani meriwayatkan dari Anas b. Malik,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Sebaik-baik wanita di dunia ini ialah
empat orang, iaitu Maryam binti ‘Imran, Asiah binti Muzahim isteri
Fir’aun, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Rasulullah s.a.w.”
Tentang kelebihan Khadijah pula, diriwayatkan
dengan sanadnya daripada Anas, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Cukuplah
bagi kamu mengetahui bahawa Maryam binti ‘Imran, Khadijah binti
Khuwailid, Fatimah binti Muhammad s.a.w. dan Asiah Isteri Fir’aun
merupakan wanita terbaik di seluruh alam ini.”
Dari Qatadah katanya, disebutkan kepada kami bahawa
Nabi Allah bersabda,
“Cukuplah bagi kamu mengetahui bahawa Maryam binti
‘Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad s.a.w. dan
Asiah isteri Fir’aun adalah wanita terbaik di seluruh alam.
Dari Abu Musa al-Asy’ari katanya, Rasulullah s.a.w.
bersabda,
“Lelaki yang sempurna banyak, tetapi tidak ada wanita
sempurna kecuali Maryam, Asiah isteri Fir’aun, Khadijah binti Khuwailid
dan Fatimah binti Muhammad s.a.w.”
Kata al-Suyuti ketika mentafsirkan firman Allah
yang bermaksud,
“Dan ketika mala’ikat berkata: Wahai Maryam sesungguhnya
Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam.” (Surah Ali ‘Imran ayat 42), Hadis ini
ditakhrijkan oleh Ibn Mardawaih, dari Anas katanya, bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda,
“Allah memilih empat orang wanita dari seluruh alam
ini, iaitu Asiah binti Muzahim, Maryam binti ‘Imran, Khadijah binti
Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad Rasulullah s.a.w.”
Oleh itu bagaimana Abu Bakar boleh melayani Fatimah
dengan keras begini sedangkan banyak sekali Hadis yang diriwayatkan
dari sumber Ahl al-Sunnah tentang kelebihannya dan karamahnya, benar
percakapannya, dan bahawa beliau telah pula dipilih oleh Allah S.W.T?
Selain itu para ‘ulamak besar Ahl al-Sunnah mengakui dan mengakui
kelebihan dan kemuliaannnya sebagaimana yang diterangkan oleh lidah
Rasulullah s.a.w., namun sekalipun begitu, Abu Bakar masih lagi berani
menzalimi seorang yang sangat dikasihi oleh Rasulullah s.a.w. ini.
Sebahagian dari karamah Fatimah a.s.
Kata al-Tha’labi bahawa al-Zamakhsyari menyebutkan hal ini dalam al-Kasysyaf, iaitu ketika beliau menafsirkan ayat,
کلما دخل علیها زکریا المحراب وجد عندها رزقا
“…tiap-tiap kali nabi Zakaria masuk untuk menemui
Maryam di miihrab, ia dapati rezeki disisinya.” (Surah Ali ‘lmran ayat
37) , juga disebutkan oleh al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur di akhir
tafsiran ayat tersebut, iaitu dinukilkan dari Abu Ya’la bahawa Hadis ini
ditakhrijkan oleh Jabir dengan lafaznya oleh al-Tha’labi katanya:
Dikhabarkan kepada kami oleh ‘Abdullah b. Hamid dengan isnadnya dari
Jabir b.’Abdullah, bahawa Rasulullah s.a.w. beberapa hari tidak
menyentuh makanan sehingga baginda terasa sukar, lalu baginda pergi ke
rumah semua isteri-isterinya, tetapi seorang pun tidak ada yang
menyediakan makanan. Kemudian baginda pergi ke rumah Fatimah dan
bertanya,
“Wahai anakku, adakah di rumah kamu sesuatu untuk di makan, kerana aku lapar.”?
Jawab Fatimah,
“Demi Allah tidak ada suatu apa pun.”
Setelah Rasulullah s.a.w. keluar, datanglah seorang
wanita jiran Fatimah membawa dua keping roti dan seketul daging untuk
diberikan kepada Fatimah. Lalu Fatimah mengambilnya dan diletakkan dalam
mangkuk serta ditutupnya sambil berkata,
“Aku akan berikan makanan ini
kepada Rasulullah kerana aku lebih mengutamakan dirinya daripada diriku
sendiri dan seisi rumahku.”
Pada masa itu semua isi rumah Fatimah juga
memerlukan makanan, tetapi Fatimah menyuruh Hasan dan Husain menjemput
datuk mereka datang semula. Setelah Rasulullah s.a.w. balik semula,
Fatimah pun berkata,
“Demi bapa dan ibuku wahai Rasulullah s.a.w.,
sesungguhnya Allah telah memberi kita sedikit makanan lalu aku
sembunyikannya untukmu.”
Jawab Rasulullah s.a.w.,
“Kalau begitu marilah kita makan.”
Fatimah pun membawa makanan yang tertutup dalam
mangkuk itu, lalu dibukanya. Tiba-tiba dilihatnya mangkuk itu penuh
dengan roti dan daging, beliau terpegun sebentar, tetapi beliau
mengethui semua itu adalah berkat kurniaan Allah, lalu ia memuji Allah
dan bersalawat ke atas Nabi-Nya.
Rasulullah s.a.w. pun bertanya,
“Dari mana kamu dapati makanan ini wahai anakku.”?
Jawab Fatimah,
“Ia dari Allah, sesungguhnya Allah itu memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”
Rasulullah s.a.w. pun memuji Allah dan barkata,
“Segala puji bagi Allah yang menjadikan kamu seperti penghulu wanita
Bani Isra’il, kerana apabila Allah mengurniakannya makanan yang baik ia
pun berkata,
“Ia datang dari Allah, sesungguhnya Allah memberi rezeki
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”
Kemudian Rasulullah menyuruh supaya menjemput ‘Ali,
lalu ‘Ali pun datang dan Rasulullah s.a.w. pun makan bersama Fatimah,
Hasan dan Husain serta semua isteri-isteri Nabi s.a.w. sehingga kenyang,
tetapi mangkuk itu tetap penuh seperti asalnya.
Kata Fatimah,
“Aku memberi isi mangkuk itu kepada
semua jiran-jiranku dan Allah telah memberinya berkat hingga beberapa
lama, sedangkan pada mulanya ia hanya berisi dua keping roti dan
seketul daging, tetapi tambahan yang lain itu adalah berkat dari Allah
Ta’ala.”
Diriwayatkan oleh Abu Sa’id dalam Syarq
al-Nubuwwah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada ‘Ali,
“Kamu diberi
tiga perkara yang tidak diberi kepada sesiapa, walaupun kepadaku
sekalipun, iaitu mertua sepertiku, sedangkan aku tidak mempunyai mertua
sebegitu, kamu juga diberi isteri siddiqah seperti anak perempuanku,
sedangkan tidak ada orang lain yang memperoleh isteri seperti itu, dan
seterusnya kamu diberi Hasan dan Husain, iaitu keturunan asal darimu,
sedangkan aku tidak ada anak seperti itu, tetapi kalian adalah dariku
dan aku dari kalian.”
Dari Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w.
bersabda,
“Pada malam aku mi’raj naik ke langit aku melihat tertulis di
pintu syurga: Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah, ‘Ali
yang dikasihi Allah, Hasan dan Husain pilihan Allah, Fatimah pilihan
Allah dan orang yang memusuhinya dilaknati Allah.
Diriwayatkan oleh al-Hakim bahawa ‘Aisyah apabila
disebutkan tentang Fatimah a.s.binti Nabi s.a.w., maka dia pun berkata,
“Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih benar percakapannya dari
Fatimah kecuali bapa (yang melahirkannya).” Kata al-Hakim, Hadis ini
sahih menurut syarat Muslim.
Dari ‘Amr b. Dinar katanya, bahawa ‘Aisyah berkata,
“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih benar percakapannya
selain bapanya.”
Rasulullah s.a.w. telah menerangkan dalam beberapa
tempat bahawa kemarahan Fatimah adalah selaras dengan kemurkaan Allah
dan keredhaan Fatimah adalah selari dengan keradhaanNya. Tetapi Abu
Bakar mengabaikan apa yang telah diwasiatkan oleh Nabi s.a.w. lalu
mengambil jalan memusuhi darah daging Rasulullah s.a.w. ini dengan
merampas tanah Fadak daripada Fatimah setelah tiga tahun tanah itu
berada di dalam miliknya. Abu Bakar menggunakan alasan dengan Hadis yang
bermaksud, “Apa yang kami tinggalkan adalalah sadaqah.”
‘Ali a.s. berkata, bahawa Nabi s.a.w bersabda
kepada Fatimah,
“Sesungguhnya Allah murka dengan kemarahanmu dan redha
dengan keredhaanmu.”
Ditakhrijkan oleh al-Dailami, daripada ‘Ali a.s.
dengan lafaz,
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla murka dengan kemarahan
Fatimah dan reda dengan keredhaannya.”
Kata al-Dhahabi, diceritakan dari al-Tabarani
tentang sebuah Hadis dengan sanadnya sampai kepada ‘Ali yang diiktiraf
sebagai sahih bahawa Rasululullah s.a.w. bersabda kepada Fatimah,
“Sungguhnya Tuhan murka kerana kemarahanmu dan redha kerana
keredhaanmu.”
Kata al-Tabari, dari ‘Ali b. Abi Talib a.s. bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Wahai Fatimah, sesungguhnya Allah ‘Azza wa
Jalla murka disebabkan kemarahanmu dan redha dengan keredhaanmu.” Kata
al-Tabari lagi, Hadis ini ditakhrijkan oleh Abu Sa’id dalam kitab Syaraf
al-Nubuwwah dan Ibn al-Muthanna dalam Mu’jamnya.
Tentang sabda Nabi s.a.w., “Fatimah adalah darah
dagingku, siapa yang menjadikannya marah sesungguhnya ia juga menjadikan
aku marah.”
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam bab Manaqib
kerabat (keluarga) Rasulullah s.a.w. dan Manaqib Fatimah, diriwayatkan
dengan sanadnya dari al-Miswar b. Makhzamah, bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Fatimah adalah darah dagingku, siapa yang menjadikannya marah
bererti menjadikanku marah.”
Diriwayatkan juga dalam bab “Lelaki yang
mempertahankan anak perempuannya.” Satu Hadis dari Miswar b. Makhramah
katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Fatimah adalah sebahagian daripada
darah dagingku, seseorang itu membohongiku sekiranya dia membohongi
Fatimah dan menyakitiku sekiranya dia menyakiti Fatimah.”
Masih daripada Miswar b. Makhramah, katanya,
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya Fatimah adalah darah dagingku,
apa yang menyakitinya adalah menyakitiku juga.”
Juga diriwayatkan dari Miswar b. Makhramah, bahawa
Nabi s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya anak perempuanku, iaitu Fatimah a.s.
adalah darah dagingku, membohongiku jika membohonginya, dan menyakitiku
jika menyakitinya.”
Dari ‘Abdullah b. al-Zubair, meriwayatkan sebuah
Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bersabda, “Fatimah adalah darah
dagingku, apa yang menyakitkannya menyakitkanku, dan membohonginya
bererti membohongiku.”
Dari ‘Ubaidullah b. Abi Rafi’, dari Miswar, bahawa
telah datang kepadanya utusan Hasan b. Hasan a.s. untuk meminang anak
perempuannya, lalu kata Miswar kepada utusan itu,
“Katakan kepada Hasan
supaya datang berjumpaku awal malam ini.”
Menjelang malam, Hasan pun datang berjumpa Miswar,
lalu Miswar pun mengucap Alhamdulillah dan berkata,
“Adapun kemudian
dari itu, sesungguhnya tidak ada nasab dan semenda (pertalian
perkahwinan) yang lebih aku suka daripada tali perkahwinan dengan
keturunan Nabi s.a.w. tetapi Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ‘Fatimah
adalah darah dagingku, aku akan merasa tertekan jika dia tertekan dan
merasa senang jika dia merasa senang, sungguhnya nasab keturunan itu
akan terputus dan berakhir kecuali nasabku dan persemendaanku.’ Sekarang
anda mempunyai isteri dari keturunan Fatimah, sekiranya aku kahwinkan
anda dengan anak perempuanku nescaya Fatimah merasa tertekan kerana
memadukan cucu perempuannya.” Kemudian Miswar pun pergi setelah meminta
maaf kepada Hasan b. Hasan a.s. kerana menolak pinangan itu. Kata
‘Ubaidullah, Hadis ini sahih isnadnya.
Daripada Anas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Apakah yang lebih baik bagi perempuan.”? Kami tidak tahu bagaimana
untuk menjawabnya, lalu ‘Ali pergi menemui Fatimah dan menceritakan
tentang soalan tersebut. Fatimah pun berkata kepada ‘Ali,
“Katakanlah
kepadanya bahawa yang lebih baik bagi perempuan itu ialah, mereka tidak
melihat lelaki dan lelaki tidak melihat mereka.”
‘Ali pun kembali menemui Rasulullah s.a.w. dan
memberitahu jawaban tersebut, lalu Rasulullah s.a.w. pun bertanya,
“Siapakah yang memberitahu kamu jawaban ini.”?
Jawab ‘Ali,
“Fatimah.”
Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Dia adalah darah
dagingku.” Kata Anas, Hadis yang sama maksudnya juga diriwayatkan oleh
Sa’id bin Musaiyab.
Kata al-Muttaqi al-Hindi, bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda,
“Sungguhnya Fatimah merasa duka dan suka sama sepertiku, aku
senang bila dia merasa senang dan rasa tertekan bila dia merasa
tertekan.” Kata al-Muttaqi, Hadis ini ditakhrijakan oleh al-Tabarani
dari al-Miswar.
Al Muttaqi meriwayatkan juga hadis yang berasal
dari al-Hasan al-Basri bahawa katanya, ‘Ali b. Abi Talib berkata, “Pada
suatu hari Rasulullah s.a.w. bertanya kepada kami, “Apakah yang paling
baik bagi seorang perempuan’”? Tidak ada pun di antara kami yang hadir
di situ dapat menjawabnya. Oleh itu, apabila aku balik bertemu Fatimah,
aku pun bertanya kepadanya, “Wahai anak perempuan Muhammad, sungguhnya
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada kami satu soalan yang kami tidak dapat
menjawabnya.
Kata Fatimah,
“Apakah soalan itu.”?
Aku menjawab,
“Beliau bertanya, apakah yang paling baik bagi seorang perempuan.”
Kata Fatimah lagi,
“Kamu tak tahu jawabannya.”?
“Tidak.” Sahutku.
Jawab Fatimah,
“Tidak ada yang lebih baik bagi
seorang perempuan itu selain dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak
melihatnya.”
Menjelang petang, kami pun bertemu Rasulullah
s.a.w. lagi, lalu aku pun berkata kepadanya,
“Wahai Rasulullah, anda
telah bertanya kami satu soalan yang tidak dapat kami jawab, sekarang
jawabannya ialah, tidak ada yang lebih baik bagi seorang perempuan itu
selain dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak pula melihatnya.”
“Siapa yang memberitahu kepadamu jawaban ini.”? Tanya Rassulullah s.a.w.
“Fatimah.” Jawabku.
Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Benarlah jawaban itu,
sungguhnya dia adalah darah dagingku.” Kata al-Muttaqi, Hadis ini
diriwayatkan juga oleh al-Daruqutni dalam al-Ifrad.
Riwayat al-Nasa’i, dari Miswar b.Makhramah katanya,
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkhutbah di atas mimbarnya ini dan
pada ketika itu aku baru akil baligh, ia bersabda, “Fatimah adalah darah
dagingku.”
Kata Ibn Hajar, ‘Abdullah b. al-Hasan al-Muthanna
Ibn al-Hasan al-Sibt masuk berjumpa ‘Umar b. ‘Abdul ‘Aziz, iaitu pada
masa ‘Abdullah masih sangat muda dan rambut di kepala sebelah hadapannya
sangat lebat, lalu ‘Umar mempersilakannya duduk di tempat yang tinggi
dalam majlisnya’ perbuatan ‘Umar ini dikecam oleh kaumnya.oleh itu ‘Umar
berkata, “Para perawi yang thiqqah (boleh dipercayai) menceritakan
kepadaku sehingga aku merasa seperti mendengarnya sendiri dari mulut
Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda, ‘Sesungguhnya Fatimah adalah
darah dagingku, mengembirakan aku apa yang mengembirakannya.’ Aku tahu
kalau Fatimah masih hidup nescaya beliau gembira dengan apa yang aku
lakukan terhadap anak cucunya.” Kata ‘Umar lagi.
Dalam kitab al-Imamah wa al-Siyasah, di bawah
tajuk: “Bagaimana cara bai’ah ‘Ali b. Abi Talib.” Penulisnya
menceritakan bahawa Fatimah berkata kepada Abu Bakar dan ‘Umar, “Mahukah
kamu berdua mendengar satu Hadis Rasulullah s.a.w. untuk kamu tahu dan
mengamalkannya.”?
Jawab Abu Bakar dan ‘Umar,
“Ya.”
Kata Fatimah,
“Aku merayu dengan nama Allah, adakah
kamu berdua tidak mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Keredhaan
Fatimah adalah keredhaanku dan kemarahan Fatimah adalah kemarahanku,
barangsiapa yang kasihkan puteriku Fatimah bererti dia mengasihiku aku,
barangsiapa yang menyebabkan Fatimah redha bererti membuatkanku redha
dan barangsiapa yang membuatkan Fatimah marah bererti membuatku marah.”?
Abu Bakar dan’Umar menjawab,
“Ya, kami mendengarnya dari Rasulullah s.a.w.”
Kata Fatimah,
“Sesungguhnya aku naik saksi atas
nama Allah dan mala’ikat-Nya bahawa kamu berdua telah menjadikanku marah
dan tidak membuatku redha, kelak, apabila aku bertemu Nabi s.a.w. akan
aku adukan perbuatan kamu berdua ini kepadanya.”
Jawab Abu Bakar,
“Aku berlindung dengan Allah dari
kemarahannya dan kemarahanmu, wahai Fatimah.” Kemudian Abu Bakar menarik
nafas dan menangis sekuat-kuatnya sehingga hampir putus nafasnya,
sedangkan Fatimah pula berkata,
“Demi Allah aku akan berdo’a setiap kali
lepas solat supaya Allah membalas perbuatanmu itu.”
Kemudian Abu Bakar pun keluar dan ramailah orang
datang mengelilinginya, lalu Abu Bakar berkata,
“Semua kamu boleh tidur
nyenyak sambil memeluk isteri masing-masing dengan gembira dan
meninggalkan aku berseorangan dalam keadaan sukar begini, oleh itu aku
tidak memerlukan bai’ah kamu dan lepaskan aku dari bai’ah kamu!”
Tetapi sikap Abu Bakar yang telah lembut itu
kembali keras setelah dipujuk oleh ‘Umar dan seterusnya khalifah pertama
dan kedua itu berani mengingkari perintah Rasulullah s.a.w. supaya
menghormati Fatimah, sebaliknya mereka menzaliminya dan menyerang
rumahnya, membakar pintu rumahnya, menyebabkan janin dalam kandungannya
gugur sedangkan dia telah diberi nama Muhsin. Kemudian ‘Ali pula diikat
untuk dipaksa memberi bai’ah dan mereka tidak pula menghormati kemuliaan
Ahl al-Bait. Oleh itu Fatimah tidak bercakap dengan Abu Bakar dan ‘Umar
selama-lamanya, beliau juga mewasiatkan supaya jenazahnya dikebumikan
pada malam hari supaya pusaranya tidak dikenali dan tidak dihadiri oleh
kedua khalifah itu kerana beliau tidak redha terhadap perbuatan kedua
mereka.
Imam ‘Ali a.s. telah berusaha mempertahankan hak
Fatimah al-Zahra’ dalam masalah tanah Fadak ini, beliau menentang Abu
Bakar dengan memberikan hujjah dan dalil yang meyakinkan tentang hak
Fatimah.
Sungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa
orang yang paling bijak memberi hukum ialah ‘Ali, seterusnya ‘Ali ialah
al-Siddiq yang terbesar, orang yang paling alim, penyabar dan paling
banyak kelebihannya. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, ‘Ali adalah wali kamu
selepasku. ‘Ali ialah khalifah atau pengganti Nabi, Wasi Nabi,
barangsiapa yang mentaati ‘Ali sesungguhnya dia taat kepada Allah, ‘Ali
bersama dengan yang haq dan haq bersama ‘Ali. ‘Ali bersama al-Qur’an dan
al-Qur’an bersama ‘Ali, Aku kota ilmu dan ‘Ali pintunya, sesungguhnya
‘Ali tidak didahului oleh mereka yang awal tentang ilmunya dan tidak
dapat dikejar oleh mereka yang akhir. Allah berseteru dengan orang yang
berseteru dengan ‘Ali dan dialah orang yang paling hampir zamannya
dengan Rasulullah s.a.w. ‘Ali adalah qadhi agama Nabi dan dialah yang
melaksanakan perintahnya serta paling berhak menjalankannya.
Sesungguhnya aku adalah rumah hukum hakam dan ‘Ali pintunya.
Walaupun begitu banyak Hadis seumpama ini yang
menerangkan hak-hak ‘Ali, tetapi ia bukanlah banyak bagi Abu Bakar yang
berani mencabul wasiat Rasulullah s.a.w. dan apa yang disabdakan baginda
mengenai ‘Ali. Abu Bakar mengetahui akan dalil-dalil yang diberikan
namun masih sahaja dia enggan menerimanya demi mencapai matlamat dan
tujuannya, dan tidak pula dia mempedulikan seruan kebenaran dari Imam
‘Ali.
Yang menghairankan, walaupun begitu banyak sabda
Nabi di berbagai tempat dan masa menerangkan kelebihan Imam ‘Ali
berbanding orang lain, bagaimana masih mampu Abu Bakar menyalahinya dan
tidak memperdulikan dalilnya?