Selasa, 26 Januari 2021

ASAS-ASAS ILMU HADITS






ASAS-ASAS ILMU HADITS



OLEH : AL BALAGH FOUNDATION



Pengenalan
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan selawat ke atas Penghulu segala nabi dan rasul, ahlul baitnya yang suci dan sahabat-sahabat yang mengikuti mereka dengan benar dan adil.Di riwayatkan bahawa Nabi SAWAW bersabda: "Semoga Allah menyinari seorang hamba yang mendengar kata-kataku dan memeliharanya, memahaminya dan menyebarkannya sebagaimana yang dia dengar. Banyak kali seseorang membawa ilmu pengetahuan tanpa menjadi seorang ulama, dan banyak kali seseorang itu membawa ilmu pengetahuan kepada orang lain yang lebih berilmu pengetahuan daripada dirinya sendiri."



Barang siapa yang mengkaji secara teliti Sunnah Nabi SAWAW akan dapat mengetahui dan memahami nilai dan kepentingan ucapan-ucapan dan perisytiharan tersebut. Di samping kebijaksanaan, undang-undang dan limpahan budaya yang membawa kepada perubahan besar dalam hal ini, perubahan dalam daya intelek yang tinggi dan tamadun moden.



Lantaran itu, Sunnah Nabi sebagaimana yang difahami adalah kata-kata dan perbuatan dan juga keakuran Nabi SAWAW dan ia menjadi rujukan kedua dalam Syari'ah Islam selepas Kitab Suci Allah SWT.Maka al-Qur'an yang suci telah mewajibkan umat manusia untuk mengikuti dan beramal dengan ajaran-ajarannya.



Oleh yang demikian memelihara Sunnah di samping menjamin ia daripada sebarang perubahan dan penyelewengan adalah tanggungjawab yang besar demi memelihara ajaran-ajarannya. Pada pandangan ini, Imam-imam suci AS dan ulama-ulama telah berusaha keras dalam memelihara Sunnah daripada penyelewengan dan tafsiran yang salah.



Dan untuk generasi yang seterusnya, demi untuk mengetahui dan memahami Sunnah Nabi SAWAW dan kehidupannya secara praktikal, dan berpegang teguh kepada ideologi Islam di samping mengetahui peraturan dan undang-undang Islam sebagai satu cara hidup, maka adalah penting kepada mereka memberikan lebih usaha dalam penyebaran Sunnah dan mengembangkan kajian berhubung dengan perkara tersebut khususnya berhubung dengan Ilm al-Hadith.



Walaupun, generasi umat Islam masakini, tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang sewajarnya diharapkan sebagai umat Islam kerana kebanyakan pusat-pusat pengajian di dunia seperti di universiti dan kolej tidak mengambil berat tentang perkara ini.



Maka pada pandangan ini, Muasasah al-Balagh telah mengambil langkah untuk mendidik dan membawa pemuda-pemudi Islam kembali kepada Sunnah di samping Ilmu Hadith. Semoga buku ini dengan izin Allah Yang Maha Tinggi memberi manfaat kepada pembaca dan semoga Allah menerima amal-amal kami. Dialah Yang Maha Mendengar dan Lagi Maha Memberi Balasan.



Sunnah Nabi SAWAW



Ta'rif Sunnah:
Ta'rif dari segi bahasa: Orang-orang Arab sebelum Islam, telah menggunakan perkataan 'Sunnah,' yang membawa maksud,'cara hidup dan perjalanan (sirah).'Razi menjelaskan 'Sunnah' sebagai perjalanan….[1]



Ia membawa maksud: satu cara hidup yang dipilih atau jalan.



Kisa'i berkata; Ia bermakna sesuatu yang berterusan atau berkesinambungan. Apabila kita berkata tentang Sunnah, ia membawa makna satu perilaku tindakan yang berkesinambungan…[2]



Tetapi apabila Islam datang al-Qur'an menggunakan istilah Sunnah dengan maksud yang khusus dan difahami. Di antara penggunaannya, firman Allah SWT:



"Yang demikian itu adalah menurut "Sunnatullah"(undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kai akan dapat sebarang perubahan bagi "Sunnatullah." [al-Ahzab 33:62]



"Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah".[al-Fatir 35: 43]



Al-Qur'an yang suci di sini menggunakan istilah "Sunnah" sebagai suatu kontrak sosial yang menentukan kegiatan seharian manusia dalam masyarakat.



Al-Qur'an turut mengetengahkan istilah 'Sunnah' dengan maksud-maksud tertentu, umpamanya sebagai istilah saintifik, dan juga budaya. Nabi SAWA menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai satu istilah yang merujuk kepada kata-kata eliau, tindakan, penegasan dan syariah, justeru, 'Sunnah' membawa pengertian intelektual di samping syariah yang mempunyai kesan yang besar kepada kehidupan umat Islam.



Dan begitu juga al-Qur'an menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai tambahan kepada kata nama Allah, misalnya 'sunnatullah' membawa maksud suatu jalan yang mengikuti undang-undang tabi'i mengikut kehendak Allah SWT dan ia berlaku setiap hari. Dan juga Nabi SAWA menggunakan istilah 'Sunnah' sebagai tambahan kepada peribadinya yang mulia yang membawa maksud segala perbuatan dan kata-katanya. Lantaran itu disebabkan penggunaan kata 'Sunnah' yang kerap digunakan oleh Nabi SAWA, ia merujuk kepada sesuatu maksud yang khusus. Maka dalam pandangan ini, istilah 'Sunnah' secara teknikal wujud dan dengan menyebut 'Sunnah' fikiran kita sudah mengetahui maksudnya itu.



Pengertian Sunnah Dari Segi Istilah
Nabi SAWA, adalah Rasulullah dan pendakwah Allah, juga sebagai orang yang memberikan penjelasan tentang Syariah. Lantaran itu umat Islam amat mengerti tentang peri pentingnya memelihara hadith-hadith Nabi, mempelajarinya dan memahaminya supaya ia menjadi sumber kepada pengambilan hukum Syari'ah. Hal ini disebabkan ia menjadi sumber rujukan yang kedua terpenting selepas Kitab Allah, al-Qur'an yang suci.



Di sini, kita akan menerangkan salah satu pengertiannya yang dikutip dari ahli hadith Fakhruddin Turaihi, beliau berkata, "Sunnah dari segi bahasa membawa maksud jalan atau cara hidup dan kata jamaknya ialah sunnan."



Pada golongan Sina'a (al-Sina'a adalah istilah ulama yang membawa maksud golongan yang amat fasih), ia bermaksud cara hidup Nabi,perbuatan( Fi'liyyah), kata-kata (Qawliyyah) dan keakurannya (Taqririyyah) dari dirinya sendiri atau dari seseorang yang telah diberikan mandat tersebut.[3]



Amadi, seorang ahli fiqh Mazhab Hanbali memberikan pengertian Sunnah sebagai: "Dari segi istilah ia membawa maksud sirah, maka sunnah seseorang adalah apa yang dia lakukan sama ada baik atau buruk."



Tetapi dari segi tekniknya, ia membawa maksud segala tindakan yang disarankan dan dilakukan oleh Nabi SAWAW.



Dan ia juga boleh dikatakan segala yang datang dari Nabi SAWAW daripada hujah-hujah syariah dan ia bukan mukjizat, atau apa-apa yang dalam lingkungan mukjizat, justeru ini adalah perkara yang dimaksudkan itu.



Dan ini meliputi; kata-kata, perbuatan dan keakuran (taqrir) Nabi SAWAW.[4]



Oleh yang demikian, "Sunnah" dari segi bahasa bermaksud jalan hidup, dan dari segi istilah, membawa pengertian kata-kata, tindakan dan keakuran (taqrir) Nabi SAWAW.



Dan kadang-kadang, Sunnah boleh juga disandarkan kepada segala perbuatan yang sunat dan tidak wajib yang dilakukan oleh Nabi SAWAW. Oleh yang demikian, ahli-ahli fiqh menggunakannya secara bertentangan dengan istilah bid'ah. Justeru, jika mereka berkata hal tersebut adalah satu Sunnah, mereka bermaksud sebarang undang-undang yang kembali kepada Usul al-Syariah[5], dan hal tersebut adalah bid'ah membawa pengertian sebarang bentuk penambahan
kepada hal agama yang berasal dari Usul al-Syariah.



Oleh yang demikian, kita selalu menyebut istilah Sunnah, tetapi, ia membawa pengertian yang tidak sama. Kadang-kadang ia membawa maksud kata-kata, perbuatan dan keakuran (taqririyyah) Nabi SAWAW, dan pada contoh yang lain, ia membawa pengertian bahawa Nabi SAWAW melakukan perbuatan sunat dan tidak wajib. Pada keadaan yang lain, ia membawa pengertian segala undang-undang yang berasal dari undang-undang syariah iaitu antitesis kepada sebarang perkara yang tidak berasal dari syariah iaitu apa yang dipanggil bid'ah. Justeru, ia dikatakan sesuatu itu sebagai Sunnah dan pada kebalikannya adalah sesuatu yang dianggap bid'ah.



Jenis-jenis Sunnah Nabi SAWAW
Sejak menerima wahyu daripada Malaikat Jibril di Mekah, Nabi SAWAW memulakan dakwah Islam dan menerangkan peraturan-peraturan dan undang-undang kepada orang ramai di samping beliau SAWAW sendiri mengamalkan apa yang beliau sampaikan. Perkara yang pertama, beliau SAWAW mengajarkan kepada orang Islam selain daripada Tawhid adalah wudhuk dan solat. Maka beliau meneruskan mengajar mereka peraturan-peraturan agama mereka, peraturan sosial, cara-cara berdakwah, juga cara-cara hidup bersama orang-orang bukan Islam, dan persekitaran mereka secara umum. Justeru, melalui penjelasan dan kata-kata beliau dalam soal-soal ibadah, sistem sosial, moral dan akhlak, cara-cara berdakwah dan tingkah laku mereka terhadap orang lain, telah berjaya membentuk sistem hidup yang agung.



Apabila beliau SAWAW berhijrah ke Madinah, ia menjadi sunnah yang amat berharga. Dan apabila beliau tinggal di Madinah, beliau meneruskan penjelasannya tentang syariah dalam hampir setiap khutbah, kata-kata, tulisan dan aktiviti hidupnya setiap hari. Maka perbuatan beliau dalam ibadah, pentadbiran, kehidupan dalam keluarga, sahabat-sahabat dan tindakan terhadap musuh-musuhnya dari kalangan Ahlul Kitab dan golongan kafir, pada masa peperangan atau aman, dan cara beliau SAWA mentadbir urusan umat, arahannya kepada tentera, penjelasannya terhadap peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Qur'an dan lain-lain, (semuanya itu) menunjukkan Sunnahnya dan satu cara hidup Islam.



Nabi SAWAW, di samping menjelaskan tentang syari'ah, berdakwah secara lisan dan amal, mengasaskan umat yang mempunyai sistem sosialnya yang tersendiri dalam urusan jual-beli, sewaan, perwarisan, pernikahan, perceraian, di mana beliau SAWA menerima sebahagian dan menolak yang lain berasaskan undang-undang Syari'ah yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang beliau SAWAW mengesahkan tindakan sebahagian sahabat-sahabatnya dengan cara tidak menolaknya secara lisan atau amalan kerana ia selaras dengan asas-asas Syari'ah.



Menerusi kaedah ini Rasul SAWAW menjelaskan secara terperinci tentang isi kandungan al-Qur'an dan pengertiannya, selaras dengan tujuan dan matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT agar umat dapat memahami asas-asas wahyu suci tersebut.



Malahan, harta kenabian di kumpulkan dan ditulis dalam apa yang dipanggil kitab-kitab Hadith dan dibahagikan kepada tiga bentuk menurut cara mana ia dilaporkan dari Nabi SAWAW:



1. Kata-kata Kenabian: Ia adalah penjelasan lisan Nabi SAWAW daripada khutbah, perbincangan, petunjuk, soal-jawab dengan sahabat-sahabat, atau tulisan dan surat-surat beliau kepada orang lain yang meminta beliau SAWAW memberikan jawapan tentang beberapa soalan atau ingin mendapatkan penjelasan tentang pengertian ayat-ayat Qur'an. Amatlah diketahui ketika Nabi SAWAW ketika menyeru orang ramai kepada agama Islam, atau ketika menerangkan hal-hal Syari'ah, atau aqidah, bercakap dalam Bahasa Arab, dengan gaya bahasa yang mudah mereka fahami. Ucapan-ucapan beliau SAWAW yang ditujukan kepada mereka dalam pelbagai cara, kadang-kadang dalam kata-kata yang berterus terang dan kadang-kadang dalam bentuk kiasan, persamaan, umum atau khusus, luas atau terhad, arahan dan larangan dan sebagainya. Justeru, semuanya ini memerlukan satu pemahaman yang mendalam dan keadaan-keadaan yang menjadi latar belakang ketika undang-udang Syariah itu dilaksanakan oleh Nabi SAWAW.



2. Perbuatan Nabi SAWAW: Perbuatan Nabi SAWAW telah menjadi satu formula bagi ketetapan peraturan Syariah, nilai-nilai dan cara hidup Islam. Islam adalah satu sistem, juga satu ajaran untuk mencapai kesempurnaan hidup manusia, maka Nabi SAWAW adalah seorang pembina kehidupan dan seorang tokoh kepada segala peraturan Syari'ah dan segala tujuannya dalam bidang politik, ibadah, tatacara pendakwaan hukum, jihad, hubungan sosial dan sebagainya melalui contoh daripada perbuatan dan akhlak baginda SAWAW. Al-Quran yang suci memerintahkan umat supaya wajib mengikuti Nabi SAWAW dan menurut perintahnya SAWAW, kerana beliau SAWAW adalah seorang peribadi yang menjadi contoh teladan dengan setiap kata-kata, perbuatan dan keakuran beliau SAWAW dan juga disebabkan beliau SAWAW seorang yang maksum dalam segala tindakannya. Perintah Allah SWT dalam al-Qur'an, dalam ayat ke-7 Surah al-Hasyr (59); bermaksud, "Apa yang berikan oleh Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya." Dalam Surah Al-Ahzab (33): 21, Allah SWT berfirman, yang bermaksud, "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah." Lantaran itu segala perbuatan Nabi SAWAW menjadi sebahagian daripada Syari'ah, peraturan-peraturan dan nilai-nilai Islam.



Pengertian Kepada Sunnah Perbuatan (Fi'liyyah) Nabi SAWAW
Para ulama yang muktabar telah mengkaji secara terperinci segala perbuatan Nabi SAWAW supaya dapat diketahui dan diistinbatkan segala hukum dan peraturan Islam. Maka dengan itu kita dapat membahagikan perbuatan Nabi SAWAW kepada beberapa bahagian:



1. Perbuatan yang dikaitkan untuk dirinya sahaja, misalnya perkahwinan beliau SAWAW lebih daripada empat orang isteri, yang dilarang kepada orang lain.



2. Perbuatan beliau sebagai manusia seperti orang lain misalnya menggunakan bahasa yang sama seperti orang lain supaya dapat berkomunikasi dengan mereka, dan mereka dapat memahami kandungan perutusan beliau SAWAW.



3. Perbuatan beliau SAWAW sebagai mukallif seperti orang lain dan peraturan tentang perbuatannya itu secara umum sama seperti orang lain.



4. Perbuatan beliau SAWAW sebagai seorang Nabi kepada umat dan memandu mereka ke jalan yang benar.



5. Perbuatan beliau sebagai pemimpin umat Islam. Perbuatan ini boleh menjadi contoh kepada para pemimpin Islam pada
sepanjang zaman misalnya membuat perjanjian atau persetujuan bagi pihak umat Islam, mengisytiharkan perang
dan keamanan dan sebagainya.



Juseru, kesimpulannya dalam kajian kita tentang perbuatan Nabi SAWAW bahawa kedudukan beliau SAWAW sebagai Rasulullah SAWAW, sebagai seorang yang maksum, adalah tidak mungkin baginya melakukan perbuatan yang dilarang. Maka segala yang datang dari beliau SAWAW adalah sama ada sesuatu yang wajib atau harus. Dan apa yang beliau SAWAW tinggalkan adalah sesuatu yang tidak wajib dilakukan dan sebagainya. Justeru, segala perbuatan Nabi SAWAW hendaklah dikaji secara analitik dan maklumat yang luas untuk menjelaskan pengertian perbuatan beliau SAWAW itu supaya dapat diketahui sama ada ia sesuatu yang wajib, sunat, harus dan makruh. Dan adakah ia bermakna bahawa semua apa yang Nabi SAWAW tinggalkan adalah haram atau harus, kerana terdapat dua kemungkinan, peruntukan Syari'ah dalam setiap apa yang Nabi SAWAW tinggalkan, iaitu sama ada sesuatu yang haram atau harus, kerana adalah tidak mungkin bagi beliau SAWAW meninggalkan perkara tersebut apa-apa yang wajib. Lantaran itu, pembahagian ini akan membuka pintu yang luas untuk mengistinbatkan hukum, juga untuk mengetahui kedudukan sesuatu perbuatan itu sama ada ianya
wajib, harus dan haram.



Kadang-kadang, sebagai contoh, kata-kata (qawliyyah) Nabi SAWAW yang akan menerangkan perbuatannya atau keadaan beliau pada ketika perbuatan tersebut dilakukan. Oleh yang demikian kita akan mengetahui sama ada ia bersifat wajib, sunat, harus sesuatu perbuatan tersebut.



Maka, melalui penjelasan lisan atau keadaan, kita dapat memahami larangan dan keharusan sesuatu perbuatan dengan cara beliau menghindarkannya. Dengan menghindarkan perbuatan tersebut oleh Nabi SAWAW, ia membawa pengertian sesuatu perbuatan itu dilarang atau diharuskan.



3. Taqririyyah (keakuran): (Taqririyyah bermaksud sesuatu persetujuan tentang sesuatu perkara)[6]. Dari huraian ini, kita akan memahami bahawa keakuran Nabi SAWAW bermakna bahawa beliau SAWAW bersetuju tentang sesuatu perbuatan dan perkataan yang beliau lihat atau mendengarnya daripada seseorang atau kumpulan dan akur terhadap perbuatan tersebut. Justeru, hal ini menjadi tanda kepada penerimaan dan persetujuan beliau SAWAW, maka ia menjadi sebahagian daripada Sunnah dan Syariah disebabkan jika perbuatan-perbuatan dan kata-kata tersebut bertentangan dengan Syariah, beliau SAWAW akan menerangkan kepada mereka dan melarang mereka melakukannya.



Nabi SAWAW sebagai contoh mendapati orang ramai menerima riwayat yang disampaikan kepada mereka oleh seorang perawi sekiranya orang itu seorang yang tsiqah (dipercayai) dan beliau SAWAW berdiam diri tentang perkara ini tanpa menyatakan keakurannya. Lantaran itu, daripada sikap berdiam diri beliau SAWAW, kita memahami bahawa riwayat tersebut adalah sahih daripada seorang perawi sahaja, maka kita menerimanya sebagai hujah dan kemudian kita menerima riwayat yang dibawa oleh hanya seorang perawi dengan syarat orang ini adalah seorang yang tsiqah. Maka, kita tidak menetapkan syarat untuk menerima hadith Nabi SAWAW atau dari Imam-imam AS adalah dua orang atau lebih. Justeru, jika seseorang atau kumpulan melakukan sesuatu di hadapan Nabi SAWAW atau dia mendengar tentang hal tersebut, tetapi beliau SAWAW tidak mengiyakanya atau mencegahnya, maka perbuatan tersebut adalah harus di sisi syarak. Ini disebabkan diamnya beliau SAWAW, dan tidak melarangnya tentang hal tersebut membuktikan penerimaan dan persetujuan beliau SAWAW tentang hal tersebut. Maka perkara ini menjadi hujah kepada kedudkannya di sisi Syariah, dan menjadi hujah dalam mengistinbatkan hukum Syari'ah.



Ketika mengkaji hadith Nabi SAWAW, kita mendapati semua undang-undang, konsep dan pandangan lahir disebabkan cara kata-kata tersebut digunakan, juga menurut bagaimana bentuk penjelasan yang diucapkan. Dan kaedah-kaedah ini dibahagikan kepada tiga keadaan, iaitu:



A. Nas : Sebutan yang digunakan membawa pengertian tertentu tanpa kemungkinan membawa pengertian yang lain disebabkan nahu, atau disebabkan penemuan bukti bahawa perkataan itu membawa pengertian tertentu, umpamanya hadith Nabi SAWAW: "Apabila seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, maka dia hendaklah tidak menzaliminya, menafikan haknya, atau mengumpatnya, atau menipunya dan juga dia tidak menjauhinya."[7]



B. Mujmal: Mujmal membawa maksud: "Satu perkataan yang tidak membawa pengertian khusus yang tertentu."[8] [Nota: Contohnya al-Qur'an, Surah al-Baqarah:3, "dirikanlah solat." Tetapi cara mengerjakan solat itu tidak diterangkan secara terperinci dalam al-Qur'an] Ia adalah perkataan mengikut peraturan nahu tatabahasa mempunyai lebih daripada satu makna yang sama. Perkataan-perkataan ini dapat ditemui dalam contoh-contoh hadith Nabi SAWAW, yang mempunyai makna yang sama, misalnya, "Mushtarik Lafdhi" yang juga ditemui dalam riwayat-riwayat dan hadith-hadith. Walau bagaimanapun lantaran kita percaya salah satu daripada pengertian-pengertian tersebut adalah yang dikehendaki, dan alasan itu menjadi bukti dalam penerimaan pengertian yang bermacam-macam, tetapi pengertian yang dikehendaki itu tidak dijelaskan supaya kita dapat membezakannya daripada pengertian yang lain, maka cara untuk menentukan pengertian yang sebenarnya itu adalah bergantung kepada pengertian-pengertian yang lain untuk menentukan pengertian yang dikehendaki itu.



C. Dhahir: Kadang-kadang sesuatu perkataan yang diucapkan oleh Nabi SAWAW mempunyai kemampuan membawa dua pengertian yang berbeza, tetapi apabila mendengar atau membaca perkataan tersebut, salah satu daripada pengertian tersebut akan muncul dahulu dalam fikiran kita. Ini mungkin disebabkan oleh sesuatu sebab, supaya pengertian perkataan itu akan dapat ditanggap secara terus terang. Maka manifestasi daripada perkataan yang muncul (Dhuhur) itu adalah menjadi hujah pada pandangan Syari'ah Islam. Ini disebabkan Nabi SAWAW sering menyampaikan kepada orang ramai dan menjelaskan sesuatu perkara kepada mereka mengikut cara mereka berfikir, sebagaimana al-Qur'an turut menerangkan hal ini: "Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka....(Ibrahim [14]: 4).



Berhubung dengan perkara ini para Fuqaha' telah menetapkan satu kaedah saintifik untuk memahami hadith-hadith Nabi SAWAW dan menamakannya sebagai "Hujjiyah Dhuhur" misalnya, apa yang kita fahami daripada kata-kata Nabi SAWAW menurut budaya orang-orang Arab adalah satu hujah dan bukti. Hal ini disebabkan memahami budaya Arab akan dapat membantu kita memahami kata-kata Nabi , dan demikian juga memahami Syari'ah Islam dan ideologinya yang lahir daripada pelbagai bentuk dan tidak boleh difahami melainkan dengan mengkaji budaya orang-orang Arab dan nahu tatabahasa mereka.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

50 Pelajaran Akhlak Untuk Kehidupan

ilustrasi hiasan : akhlak-akhlak terpuji ada pada para nabi dan imam ma'sum, bila berkuasa mereka tidak menindas, memaafkan...